PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) memberi fokus mempertingkatkan pemahaman berhubung konsep pelancongan mesra muslim dalam kalangan penggiat industri di pulau berkenaan.
Pengurus Besar TDA, Datuk Idros Yahya berkata, langkah tersebut dibuat bagi menggalakkan kebolehpasaran dan pertumbuhan untuk berkembang dalam pasaran pelancongan muslim menerusi pengiktirafan Pusat Pelancongan Islam (ITC).
Katanya, dengan pengiktirafan tersebut, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing bagi sektor pelancongan di pulau berkenaan pada 2024.
“Kita menilai kekurangan dan berusaha meningkatkan pemahaman dalam kalangan pemilik resort di Pulau Tioman yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk kampung. Mereka ini tidak sama sebagaimana pemilik hotel besar yang memang ikut standard dan garis panduan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atau Tourism Malaysia.
“Sebagai contoh, dalam soal tanda arah kiblat. Ada resort yang ada (tanda arah kiblat) dan ada yang langsung tiada. Sebabnya mungkin mereka fikir, banyak pelancong tempatan boleh cari kiblat sendiri sedangkan tidak semua boleh berbuat demikian.
Sebab itu kita mahu buat ketetapan agar tanda arah diletakkan di tempat sepatutnya dan mempunyai reka bentuknya tersendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini
TDA sebelum ini telah mengadakan program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) melibatkan kerjasama ITC, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) , Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) dan Persatuan Hotel Malaysia.
Selain itu, sesi taklimat daripada Bahagian Pengurusan Halal JAIP berkenaan pensijilan halal di resort serta restoran di Pulau Tioman turut diadakan.
Dalam pada itu, Idros berkata, TDA juga dalam masa yang sama sedang merancang untuk mengadakan program khas bagi meningkatkan pemahaman kepada pemandu bot dan pemandu pelancong dalam aspek konsep pelancongan mesra muslim.
“Mereka perlu tahu keperluan seseorang muslim apabila melakukan sesuatu aktiviti. Sebagai contoh, pergi melawat pulau. Kita mahu pemandu pelancong yang boleh tunjukkan di mana tempat solat ketika tempoh lawatan dan juga kiblat. Maknanya mereka ada pengetahuan tentang solat di lautan.
“Begitu juga untuk mereka yang masuk ke hutan atau mendaki gunung. Malim gunung boleh tunjukkan dekat mana tempat sesuai untuk solat dan arah kiblat dalam tempoh pendakian atau ketika dalam hutan,” jelasnya.- UTUSAN









