Banjir: Tanaman serai musnah, pengusaha rugi

Banjir: Tanaman serai musnah, pengusaha rugi

TANAMAN serai Hasnoladie Bahari yang musnah ditenggelami air banjir di Kampung Sungai Bioh, Lenggeng, Seremban, - UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penduduk di Kampung Sungai Bioh, Lenggeng dekat sini, berputih mata apabila tanaman serai seluas 1.21 hektar musnah akibat banjir yang melanda pada Oktober lalu. 

Hasnoladie Bahari, 48, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM10,000 selepas tanaman serai yang diusahakannya di atas tanah sawah ditenggelami air banjir. 

“Ditambah pula, terdapat terusan berhampiran tanah sawah terbabit mengakibatkan keadaan bertambah buruk dan melimpah ke kawasan tanaman.

“Saya tidak tahu nak cakap apa, cuma termenung mengenangkan nasib menimpa. Asalnya apabila mengusahakan tanaman serai ini kurang risikonya, tetapi lain pula yang jadi. 

“Kami sekeluarga juga rugi hampir RM10,000 dari segi benih serai, kos upah pekerja, racun, baja dan kerja-kerja pembersihan tanah serta pendalaman parit keliling kawasan tanaman serai tersebut,”katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Menurutnya, jika kejadian banjir itu tidak memusnahkan tanaman serainya, dia dijangka dapat meraih hasil tuaian tanaman pada bulan Mac depan dan boleh memperoleh keuntungan sekurang-kurangnya RM50,000 jika tanaman hidup kesemuanya dalam tempoh semusim. 

“Teringin mahu tanam balik di kawasan tanaman yang dilanda banjir itu, tetapi buat masa ini saya masih lagi menunggu. 

“Apabila sudah bersihkan kembali kawasan terlibat, baru mula fikir untuk buat (tanam) semula. 

“Tapi apa yang paling penting adalah terusan berhampiran perlu dilakukan kerja-kerja mendalamkan sungai supaya tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya. 

Beliau berkata, untuk menampung balik semula kos kerugian, dia terpaksa mengeluarkan modal baharu sekitar RM1,000 bagi menanam semula serai di sekeliling rumah membabitkan keluasan suku ekar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×