PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian tenaga bersih Gentari, melalui anak syarikatnya, Gentari International Renewables Pte Ltd melabur dalam projek angin luar pesisir Hai Long yang terletak di luar pantai Changhua di Selat Taiwan.
Menurut kenyataannya, pelaburan itu menyaksikan Gentari mengambil 49 peratus kepentingan dalam pemilikan projek Northland Power Inc. (Northland) yang berpangkalan di Kanada, bersamaan dengan 29.4 peratus kepentingan ekuiti tidak langsung.
Northland kini memegang 30.6 peratus kepentingan pemilikan dalam keseluruhan projek dan akan terus mengambil peranan utama dalam pembinaan dan pengendalian projek yang dibangunkan sebagai usaha sama antara Northland dan Mitsui & Co yang berpangkalan di Jepun.
Terdiri daripada dua fasa, projek itu mempunyai kapasiti penjanaan gabungan yang dijangka sebanyak 1,022 megawatt (MW).
Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit berkata, Gentari berbesar hati untuk berkembang ke sektor angin luar pesisir melalui perkongsian strategik dengan Northland untuk projek tersebut.
“Membawa Gentari ke barisan hadapan dalam industri angin luar pesisir merupakan langkah yang kukuh ke arah merealisasikan cita-cita tenaga bersih kami dan satu pencapaian penting dalam komitmen kami untuk membantu memajukan penggunaan TBB di peringkat global,” katanya semalam.-UTUSAN










