KUALA LUMPUR: Adly Zarkasyi Alzafry, 18, yang maut terjatuh dari tingkat 34 di sebuah kondominium di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, dekat sini semalam, sepatutnya pulang ke kampung halamannya di Perlis hari ini untuk bercuti bersama ahli keluarga sempena cuti tahun baharu.
Bapa saudaranya, Taufik Mohd. Zain, 58, berkata, ketika kejadian, kesemua ahli keluarganya berada di Perlis sebelum mendapat panggilan daripada polis berhubung insiden yang menimpa penuntut semester satu Diploma Teknologi dan Maklumat di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu.
Katanya, Adly Zarkasyi tidak dapat mengikuti ahli keluarganya pulang ke kampung kerana perlu menghadiri kuliah.
“Dia dijangka pulang Khamis menaiki bas namun tidak sangka insiden ini berlaku. Ketika kejadian, ramai ahli keluarga sudah sampai di Perlis. Semasa dapat panggilan, anak-anak saya ke kondominiumnya, ramai polis di situ.
“Menurut rakan serumahnya, dia nak ambil baju yang dia baru beli, dia suka mungkin hendak tunjuk pada keluarga, tetapi terbang pula. Ini pula terjadi, sudah asbab,” katanya ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur, di sini semalam.
Menurut Taufik, kali terakhir dia bertemu Adly Zarkasyi pada bulan lalu namun anak sulung daripada tiga beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan atau perilaku pelik.
“Dia seorang remaja yang ceria, berani dan sukakan cabaran. Agak terkejut, ibu bapanya masih bersedih dengan apa yang berlaku pada Kasyi (Adly Zarkasyi,” ujarnya.
Katanya, pihak keluarga masih menunggu proses bedah siasat selesai dan jenazah Adly Zarkasyi akan dikebumikan di perkuburan Taman Tun Dr. Ismail Jaya di sini.
Terdahulu, seorang penuntut universiti dilaporan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 34 sebuah kondominium di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8.17 malam dan mayat remaja itu ditemukan di tingkat bawah bangunan setinggi 39 tingkat berkenaan.
“Hasil soal siasat dua saksi kejadian mendakwa remaja terbabit ingin mengambil sehelai baju-T yang terjatuh di kaki lima balkoni.
“Mangsa dikatakan bertindak memanjat sebuah meja dan kemudian memanjat pagar balkoni. Mangsa hilang keseimbangan dan terjatuh ke bawah,” katanya. – UTUSAN











