Beri peluang negeri mahu ada pilihan raya PBT - Utusan Malaysia

Beri peluang negeri mahu ada pilihan raya PBT

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bertujuan meningkatkan mekanisme tadbir urus baik dan negeri yang mahu mengadakan pemilihan wajar diberi peluang berbuat demikian.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, dalam perkara ini, tidak timbul pilihan raya PBT tidak wajar atas alasan kos kewangan sangat tinggi seperti yang didakwa penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Mohd. Afifi Abdul Razak baru-baru ini.

Menurut beliau, perlu diberikan kebebasan untuk negeri memilih walaupun pilihan raya PBT itu tidak diwajibkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini, Pulau Pinang yang serius dalam soal itu (pilihan raya PBT), jadi berikan mereka peluang. (Bagi) Negeri lain, lihat kesan dan faedahnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, cadangan pilihan raya PBT ialah untuk meningkatkan mekanisme tadbir urus yang baik

Menurutnya, pilihan raya PBT juga memberi peluang kepada rakyat peringkat akar umbi mengambil bahagian dalam pembuatan keputusan.

“Saya rasa tidak adil untuk menyekat mereka yang bersedia untuk menyertai seluruh dunia yang memilih untuk memberi rakyat di akar umbi hak ini.

“Negeri yang degil seperti Kelantan dan Terengganu boleh terus kekal dengan cara dan budaya mereka,” katanya.

Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan cadangan Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai supaya kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi me­nyemarakkan demokrasi­nya perlu disemak semula ekoran kos yang tinggi.

Bagaimanapun, penganalisis politik UUM, Mohd. Afifi berkata, adalah tidak wajar untuk adakan pilihan raya PBT dan Dewan Negara yang bukan sahaja kos kewangannya sangat tinggi tetapi kerajaan juga perlu mempertimbangkan beberapa kesan lain.

Katanya, pilihan raya PBT sebagaimana pilihan raya yang lain akan memberikan impak negatif kepada struktur politik negara yang bakal mencetuskan perpecahan politik da­lam negara khasnya da­lam kalangan tiga kaum terbesar di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×