KANGAR: Berada di View Point Gunung Medan di sini sambil menyaksikan matahari terbenam menyajikan suasana dan pengalaman cukup mengujakan bagi pengunjung yang datang ke salah satu lokasi pelancongan menarik di Perlis itu.
Di puncak berkenaan, pengunjung juga dapat menyaksikan pemandangan indah 360 darjah keseluruhan negeri ini dan suasana juga cukup indah khususnya pada waktu malam terutama ketika menjelang musim angin timur.
Gunung Medan yang sebelum ini sepi juga kembali ‘hidup’ ketika ini dengan kewujudan sebuah kafe unik atau Glass Cafe dan lokasi perkhemahan berkonsepkan glamping yang dijangka beroperasi tidak lama lagi sekali gus menarik kunjungan orang ramai ke situ.
Menariknya lagi, bukit di tengah pekan Kangar itu juga mudah untuk pengunjung sampai ke puncak yang berketinggian 97 meter sama ada menaiki kenderaan atau berjalan kaki dengan jarak sekitar 500 meter sahaja.
Seorang pengunjung, Natasha Alia Rosli, 27, berkata, kewujudan sebuah kafe berkaca yang cukup unik di puncak Gunung Medan itu menarik perhatian dia berkunjung di situ.
Katanya, dia bersama rakan-rakan juga mengambil kesempatan untuk melihat keindahan matahari terbenam di lokasi tersebut yang menyajikan pemandangan cukup indah.
Ujarnya, Gunung Medan dilihat kembali meriah khususnya pada waktu petang dengan kunjungan orang ramai selepas sepi sebelum ini.
“Gunung Medan menjadi salah satu lokasi tarikan yang cukup menarik untuk dikunjungi dan boleh menjadi salah satu lagi lokasi pilihan jika pelancong datang ke negeri ini khususnya sempena Tahun Melawat Perlis.
“Untuk ke puncak juga tidak terlalu sukar, hanya berjalan kaki tidak sampai 10 minit untuk sampai atau menaiki kenderaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Seorang lagi pengunjung, Ludiyana Dewi Abd. Rashid, 23, berkata, dia meluangkan masa bersama rakan-rakannya datang ke Gunung Medan untuk melihat pemandangan indah.
Kata pelajar Universiti Malaysia Perlis (Unimap) yang berasal dari Kuala Lumpur itu, di Perlis sememangnya terkenal dengan lokasi-lokasi indah yang sesuai untuk ‘healing’ dan salah satunya adalah di Gunung Medan ini.
“Kami hanya berjalan kaki untuk sampai ke puncak yang jaraknya tidak terlalu jauh dan mudah untuk sampai ke atas,” katanya. – UTUSAN
PARA pengunjung tidak melepaskan peluang merakamkan gambar matahari terbenam di View Point Gunung Medan di Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Pix
GUNUNG Medan kembali meriah dengan kunjungan orang ramai selepas sepi sebelum ini di Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN










