Tiada muslihat, niat jahat SPRM sita Menara Ilham

Tiada muslihat, niat jahat SPRM sita Menara Ilham

ANWAR Ibrahim bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menikmati hidangan Nasi Ayam Warisan Kota Damansara sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada muslihat, niat jahat, pilih kasih atau menyebelahi mana-mana pihak dalam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) menyita bangunan Menara Ilham milik keluarga bekas Menteri Kewa­ngan, Tun Daim Zainuddin.

Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu memberikan ruang sepenuhnya kepada badan itu untuk menjalankan siasatan.

DITANGKAP

“SPRM jalankan tugasnya tidak mengira kedudukan, Tun ke Tan Sri ke. Kalau tidak kritikannya nanti, yang ikan-ikan kecil ini ditangkap, kepala-kepala tak boleh disentuh, bila disentuh masih ada yang pertahankan dan digunakan pe­ngaruh terutama media sosial untuk pertahankan.

“Sistem apa macam itu, kita bukan mewakili satu sistem yang bobrok,’’ katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara dekat sini, semalam.

Anwar berkata, kerajaan mesti menunjukkan contoh keberanian untuk bertindak ter­hadap perasuah besar dan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak, badan kehakiman akan tentukan.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan mengenai notis sitaan dikeluarkan terhadap Menara Ilham di Jalan Binjai di ibu negara.

Sitaan harta tak alih itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan notisnya disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Bangunan 60 tingkat itu di­sita mengikut Akta SPRM 2009.

DISEMAK

Mengenai perjanjian antara kerajaan dengan syarikat YTL pada 2021 bagi pelaksanaan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF), Perdana Menteri berkata, prosesnya akan dise­mak semula supaya dengan pendirian kerajaan terhadap soal urus tadbir dan tatakelola.

“Kita akan melalui proses yang normal. Tidak ada asas untuk menganggap bahawa proses itu akan melalui proses rundingan terus.

“Kita perlu melihat semula keseluruhan proses itu, sama ada proses itu dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini berkata, beberapa kajian akan dilaksanakan bagi memperkenalkan langkah pe­nambahbaikan khususnya berkaitan aspek perundangan dalam pelaksanaan projek itu.

Katanya, proses peranca­ngan dan kelulusan bagi pembangunan dan pelaksanaan projek MLFF telah dibuat oleh kerajaan terdahulu pada 2021.

Kerajaan didakwa telah menandatangani perjanjian pelantikan dengan syarikat itu dan memberikan projek bernilai RM3.46 bilion tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akan membiaya pelaksanaan projek itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×