Oprah Winfrey, inspirasi wanita - Utusan Malaysia

Oprah Winfrey, inspirasi wanita

OPRAH WINFREY menemubual Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle dalam satu wawancara eksklusif yang membincangkan pelbagai topik kontroversi yang disiarkan secara khas oleh CBS, baru-baru ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja inspirasi dalam kalangan wanita, tidak dapat dinafikan Oprah Winfrey merupakan antara personaliti paling popular, berpengaruh dan disanjung tinggi di dunia.

Boleh dikatakan tiada wanita Amerika berjaya mencapai tahap kemasyhuran sama seperti Winfrey menerusi usaha sendiri.

Bermula daripada kesusahan sehinggalah mencapai kejayaan, Winfrey berjaya menempah namanya di persada media dunia.

Wanita berkulit hitam itu menjadi terkenal selepas mengacarakan rancangan bual bicara, The Oprah Winfrey Show yang mencecah puluhan juta penonton di seluruh dunia.

Kebolehan dan bakat kuat dimilikinya bukan sahaja menjadikan Winfrey pengacara paling popular dan berjaya di negara kelahirannya bahkan di peringkat antarabangsa.

OPRAH WINFREY menerima anugerah tertinggi AS, Presidential Medal of Freedom.

Kebijaksanaan dan kepetahannya ketika mengendalikan sebarang rancangan turut membolehkannya mendapat jolokan ‘Ratu Media’.

Winfrey mempunyai semangat kental dalam membina kerjaya dan empayar perniagaan sehingga menjadi jutawan wanita Afrika-Amerika pertama dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Walaupun membesar dalam sebuah keluarga berpecah, beliau berjaya keluar daripada kepompong itu dengan menhasilkan rancangan bual bicaranya sendiri sekali gus menjadi antara kejayaan terbesarnya.

Beliau yang sentiasa berfikiran ke depan terus merangkul kejayaan dengan menubuhkan syarikat produksi sendiri yang terkenal di seluruh dunia.

Winfrey adalah penghibur televisyen yang menerima bayaran tertinggi di AS. Malah, beliau juga merupakan pelakon berbakat besar sehingga dicalonkan untuk Anugerah Akademi bagi filem pertamanya, The Color Purple.

Di sebalik status selebritinya, Winfrey sentiasa membuatkan penonton menerimanya sebagai salah seorang daripada mereka.

Malah, penontonnya juga merasakan masalah mereka difahami kerana dekat dengan jiwa Winfrey ketika mengacara sesebuah rancangan bual bicara.

Nama Winfrey kembali hangat selepas mengacara sebuah rancangan kontroversi Putera Harry bersama isterinya, Meghan Markle, baru-baru ini.

Selain berbakat, kecantikan Winfrey juga menjadi perhatian dunia dan ramai tidak menyangka selebriti kesayangan tersebut pernah dinobatkan sebagai Miss Black Tennessee pada usia 18 tahun.

Winfrey melalui kehidupan sukar pada masa kecilnya. Beliau mengharungi pelbagai cabaran hidup antaranya kemiskinan, penderaan seksual serta diskriminasi kaum sebelum beliau mencapai kejayaan hidup.

Winfrey sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membentuk legasi dengan imejnya yang sendiri tanpa dibayangi pengaruh luar.

Beliau yang berusia 67 tahun amat terkenal dengan petikan hikmah yang memberi motivasi kepada orang ramai untuk menggapai kejayaan sama seperti dirinya.

“Melakukan yang terbaik pada saat ini meletakkan anda di tempat terbaik untuk masa akan datang,’’ katanya.

Oprah Winfrey terus memberi inspirasi kepada orang di seluruh dunia, beliau benar-benar percaya dalam melakukan yang terbaik dalam setiap masa.

FAKTA MENARIK:

Siapa Oprah Winfrey ?

OPRAH WINFREY bercakap di pentas pada majlis Oprah’s 2020 Vision: Your Life in Focus Tour di American Airlines Centre di Dallas.

• Merupakan pengacara rancangan bual bicara, eksekutif media, pelakon dan dermawan bilionair.

• Beliau terkenal dengan rancangannya, The Oprah Winfrey Show yang bersiaran selama 25 musim dari tahun 1986 hingga 2011.

• Pada tahun 2011, Winfrey melancarkan rangkaian televisyennya sendiri, Oprah Winfrey Network (OWN).

• Winfrey berpindah ke Baltimore pada tahun 1976 yang mana dia menjadi pengacara program People Are Talking.

• Beliau kemudian direkrut oleh sebuah stesen televisyen Chicago untuk menjadi pengacara bagi rancangan paginya sendiri.

• Winfrey dianggap sebagai wanita paling berpengaruh di dunia

Kehidupan awal dan pendidikan
• Dilahirkan di luar bandar Kosciusko, Mississippi pada 29 Januari 1954.

• Melalui masa-masa sukar ketika zaman remajanya termasuk insiden beberapa saudara dan rakan lelaki ibunya, Vernita melakukan penderaan seksual.

• Winfrey kemudian berpindah ke Nashville untuk hidup bersama bapanya, Vernon yang merupakan tukang gunting dan ahli perniagaan.

• Pada 1971, Winfrey melanjutkan pengajian di Tennessee State University dan mula bekerja di saluran radio serta televisyen di Nashville.

Karier awal dalam dunia penyiaran
• Pada 1976, Winfrey berpindah ke Baltimore, Maryland yang mana beliau mengacara rancangan bual bicara, People Are Talking.

• Program itu menjadi begitu terkenal dan Winfrey bekerja di sana selama lapan tahun.

• Selepas itu, Winfrey direkrut oleh sebuah stesen TV Chicago untuk mengacara rancangan pagi, A.M Chicago.

• Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, gaya peribadi Winfrey yang terbuka dan mesra memenangi lebih 100,000 penonton berbanding program Donahue selain rancangannya menduduki tempat pertama
dalam senarai penilaian.

The Oprah Winfrey Show
• Beliau melancarkan The Oprah Winfrey Show pada tahun 1986 dan bersiaran sehingga 2011.

• Dengan disiarkan di 120 saluran dan memiliki 10 juta penonton, rancangan itu berjaya menjana sebanyak AS$125 juta (RM514.62 juta) pada akhir tahun pertamanya yang mana Winfrey menerima
AS$30 juta (RM123.51 juta).

• Tidak lama kemudian, Winfrey memperoleh hak pemilikan program dari saluran ABC dan menempatkannya di bawah syarikat produksi baharu, Harpo Production dan meraih pendapatan yang tinggi.

• Pada 2009, Winfrey mengumumkan bahawa akan menamatkan programnya apabila kontrak dengan saluran ABC berakhir pada 2011.

Adik tiri
• Dalam musim terakhir program bual bicara, Winfrey mendedahkan rahsia keluarganya bahawa beliau mempunyai adik perempuan tiri yang bernama Patricia.

PATUNG pengacara televisyen, Oprah Winfrey dipamerkan
di New York.

• Patricia dilahirkan pada 1963 dan ketika itu, Winfrey hanya berusia sembilan tahun dan tinggal bersama ayahnya.

• Winfrey hanya mengetahui mengenai adik tirinya beberapa bulan sebelum membuat keputusan untuk mendedahkan maklumat tersebut.

Jadi kurus
• Winfrey secara terbuka berusaha menurunkan berat badannya malah pelbagai usaha diambil sepanjang tempoh itu juga didokumentasikan dengan baik.

• Pada 1998, beliau menerusi satu rancangannya mendedahkan berjaya menghilangkan 67 paun (30.3 kilogram) dengan hanya mengamalkan diet meminum air dan senaman.

• Bagaimanapun, pada tahun 1992, berat badan Winfrey naik semula.

• Pada 1995 pula, dia kehilangan kira-kira 90 paun (40.8 kg) sekali gus turun kepada berat badan idealnya sekitar 150 paun (68 kg).

• Bagaimanapun, berat badan Winfrey terus mengalami keadaan turun naik selama beberapa tahun lalu.

• Pada awal 2017, Winfrey memaklumkan dia sekali lagi berjaya menurunkan 42 paun (19 kg) beratnya.

• Dua tahun kemudian, Winfrey menerusi satu surat memberitahu bahawa dia didiagnosis pra-diabetes sebelum perjalanan kurus badan.

Kehidupan peribadi
• Winfrey bercinta dengan Stedman Graham, seorang eksekutif perhubungan awam sejak pertengahan 1980-an. Mereka pernah bertunang pada tahun 1992 tetapi tidak berkahwin. Pasangan ini tinggal di
Chicago.

• Winfrey juga memiliki beberapa kediaman di Montecito, California, Rolling Prairie, Indiana dan Telluride, Colorado.

Oprah Winfrey Network (OWN)
• Selepas rancangan The Oprah Winfrey Show berakhir pada 2011, Winfrey memulakan rangkaian stesen televisyen sendiri, Oprah Winfrey Network, dengan kerjasama Discovery Communications.

• OWN meraih populariti dan menjana jutaan dolar dalam pendapatan pada 2013 selepas menyiarkan wawancara antara Winfrey dan penunggang basikal AS, Lance Armstrong yang dilucutkan gelaran
pemenang Tour de France pada 2012 kerana tuduhan doping.

• Pada Disember 2017, Discovery Communication menjadi pemilik majoriti OWN dengan pembelian 24.5 peratus saham syarikat daripada pengasasnya dengan harga AS$70 juta (RM288.19 juta).

• Winfrey mengekalkan 25.5 peratus pegangan saham OWN dan masih kekal sebagai ketua eksekutif di bawah terma perjanjian.

Kekayaan, aktiviti amal dan anugerah
• Majalah Forbes menyenaraikan Winfrey sebagai warga Afrika Amerika terkaya pada abad ke-20 dan satu-satunya bilionair berkulit hitam di dunia selama tiga tahun berturut-turut.

• Majalah Life menobatkannya sebagai wanita paling berpengaruh dalam generasinya.

• Pada September 2002, Winfrey dinamakan sebagai penerima pertama Anugerah Kemanusiaan Bob Hope Akademi Seni dan Sains Televisyen.

• Pada 2005, Business Week menamakan Winfrey sebagai dermawan warga berkulit hitam terhebat dalam sejarah Amerika.

• Angel Network milik Winfrey menjana lebih AS$50 juta (RM205.85 juta) untuk program amal termasuk bagi pendidikan kanak-kanak perempuan di Afrika Selatan dan mangsa Taufan Hurricane.

• Winfrey merupakan aktivis hak kanak-kanak, malah pada 1994, Presiden Bill Clinton menandatangani rang undang-undang diusulkan oleh Winfrey kepada Kongres mengenai penderaan kanak-kanak.

• Pada 2013, Winfrey menerima penghargaan tertinggi negara, Presidential Medal of Freedom daripada Presiden Barack Obama atas sumbangannya.

Aktiviti politik
• Winfrey buat pertama kali berkempen untuk calon presiden Demokrat, Barack Obama pada 2007 sekali gus berjaya menarik tumpuan ramai terbesar pada ketika itu.

• Winfrey dan Donald Trump mempunyai sejarah panjang bersama. Pada tahun 1999, Trump menerusi rancangan Larry King Live memberitahu sekiranya beliau mencalonkan diri untuk jawatan presiden, beliau mahu Winfrey sebagai gandingan dengannya.

• Sejak berucap mengkritik isu perkauman di Amerika di majlis Golden Globe pada 2018, timbul spekulasi Winfrey mungkin mencalonkan diri pada Pilihan Raya Presiden AS 2020 namun beliau menafikan perkara tersebut.

Anugerah Golden Globes
• Pada Januari 2018, Winfrey menjadi wanita Afika Amerika pertama yang diberi penghargaan Anugerah Golden Globes Cecil B. DeMille untuk pencapaian seumur hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×