ARAU: Perlis bakal membuka ladang benih padi sendiri melibatkan kawasan seluas 328 hektar dengan penglibatan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negeri ini sekali gus bakal mengatasi masalah bekalan benih padi di negeri itu. Kewujudan ladang berkenaan sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan isu bekalan benih merangkumi 30 peratus keluasan kawasan tanaman padi di negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, perancangan ladang benih padi berkenaan melibatkan agensi seperti Jabatan Pertanian negeri, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)
Katanya, jangkaan pengeluaran benih padi bagi projek rintis ladang berkenaan bagi musim 2/2024 adalah sebanyak 1,640 tan metrik atau 82,000 beg.
“Ladang benih padi berkenaan juga bakal memanfaatkan 9,535 pesawah di Perlis. Anggaran pengeluaran benih perhektar pula dijangka sebanyak lima tan metrik.
“Setiap PPK akan memainkan peranan dan terlibat dalam kewujudan ladang benih berkenaan. Di Perlis kita ada 11 PPK melibatkan lima di dalam kawasan MADA dan enam di luar kawasan MADA.
PENGILANG
“Benih yang dihasilkan akan diproses oleh pengilang berdaftar dan diharap pengilang akan melakukan timbal balik dengan memastikan bekalan benih kepada pesawah setara dengan kuantiti pengeluaran benih yang dikeluarkan oleh ladang benih dari Perlis.
“Keadaan ini diharap dapat mengatasi masalah bekalan benih padi di Perlis pada masa hadapan merangkumi 30 peratus keluasan tanaman padi,” katanya.
Sebagai rekod, sebanyak 15,960 pesawah di negeri ini dengan keluasan sawah di kawasan dan luar MADA di Perlis ialah seluas 28,033 hektar.
Sementara itu, Razali memberitahu, LPP dengan kerjasama PPK telah mengambil langkah dan usaha bagi memastikan sekurang-kurangnya bekalan sebanyak 6,000 beg benih padi bagi musim 2/2023 dapat disediakan terutama bagi pesawah yang bernaung dibawah Projek Mini Estet Padi (MEP) PPK.
“Melalui beberapa usaha dan siri perbincangan, beberapa tindakan bagi perolehan benih telah dilaksanakan oleh PPK iaitu pada Oktober 2023 sebanyak 4,000.00 beg dengan harga RM35.00/beg kepada pesawah; pada 6 November 2023 sebanyak 1,000 beg dengan harga arahan terbaru RM45.00/beg kepada pesawah.
“Pada 7 September 2023 pula sebanyak 1,750 beg benih dengan harga RM45.00/beg kepada pesawah,” katanya.- UTUSAN










