KEMAMAN: Kira-kira 20 pekebun di Bandar Cheneh Baru, dekat sini, berputih mata selepas tanaman diusahakannya setahun lalu, musnah diserang gajah liar.
Seorang pekebun, Ismail Mohamad, 62, berkata, dia terkejut apabila hampir 200 pokok pisang, ubi kayu, kelapa dan cempedak ditanamnya dirosakkan gajah, Sabtu lalu.
“Masa saya sampai di kebun, saya tengok terdapat kesan tapak kaki gajah dan najisnya berselerakan di kebun.
“Hampir keseluruhan pokok tumbang dan ada antaranya telah berbuah dan menunggu masa untuk dipetik dan dijual,” katanya ketika ditemui di kebunnya, di sini semalam.
Ismail berkata, dia sedih dengan kejadian berlaku, namun reda dan menganggap semuanya sebagai ujian dari Allah.
“Saya buntu, tak tahu nak buat apa dan tak tahu macam mana nak mulakan semula semua ini sebab ini punca pendapatan saya,” katanya.
Ismail berkata, difahamkan selain kebunnya, kebun beberapa penduduk lain turut dimusnahkan gajah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan dan tindakan sewajarnya bagi menghalau gajah di kawasan tersebut demi keselamatan pekebun dan penduduk. – UTUSAN










