PETALING JAYA: Pemimpin UMNO membidas dakwaan pembangkang yang menyifatkan partinya sebagai ‘alas kaki’ DAP.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi berkata, pihak lawan memfokuskan kerjasama UMNO untuk melemahkan Kerajaan Perpaduan dengan apa sahaja kenyataan pemimpin atau ahli DAP yang kontroversi akan dieksploitasi.
Menurutnya, kenyataan itu ada kalanya bersifat peribadi, cadangan yang belum pasti dilaksana dan perlu dipersetujui Kabinet.
“UMNO tidak akan setuju jika tidak sesuai dengan dasar UMNO. Sebab itu ada hikmahnya UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO benteng jaga kepentingan Melayu, Islam dan Raja Raja Melayu dalam Kerajaan Perpaduan hari ini. UMNO tidak jadikan agama kuda tunggangan macam Pas.
“Sebab itu tuduhan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi bahawa UMNO ‘alas kaki’ DAP adalah percubaan untuk panaskan hubungan DAP dan UMNO,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mendakwa perkara itu selepas mengambil kira beberapa kenyataan pemimpin DAP berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya, bukan Melayu dilantik perdana menteri dan cadangan memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.
Mengulas lanjut, Puad juga membidas dakwaan Afnan yang mengatakan DAP sudah ‘naik tocang’, sedangkan Pas yang didakwa ‘naik tocang’ apabila menang banyak kerusi berbanding UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Pas semakin ganas keluar fatwa politik yang memecahkan belahkan orang Melayu. Ajaran Islam wajibka bayar hutang. Tetapi Pas liat bayar hutang Harakah. Pas jadikan Islam ‘alas kaki’ kerana ‘naik tocang’,” katanya. – UTUSAN










