PETALING JAYA: Tiada masalah mengadakan pilihan raya untuk memilih Ahli Dewan Negara, namun perkara itu perlulah bersandarkan kepada asas penubuhan badan legislatif itu untuk memberi peluang kepada golongan minoriti menjadi wakil di Parlimen.
Ini kerana peranan Dewan Negara bukan sahaja mengkaji semula dan meluluskan sebarang rang undang-undang yang dibawa Dewan Rakyat, sebaliknya membawa suara kumpulan tertentu yang tidak dipilih secara pilihan raya agar dapat diketengahkan untuk perhatian kerajaan.
Walaupun tidak dipilih secara demokrasi, ahli-ahli Dewan Negara dilantik dalam kalangan mereka yang mewakili profesion tertentu atau kumpulan mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan Orang Asli.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berpandangan, tiada masalah mengadakan pemilihan Senator seperti dicadangkan oleh sesetengah pihak, namun bukan secara menyeluruh sepertimana sedang dilakukan untuk memilih 222 Ahli Dewan Rakyat menerusi pilihan raya umum.
Katanya, melaksanakan pilihan raya Dewan Negara boleh mengehadkan ruang dan peluang golongan tertentu seperti Orang Asli, orang kurang upaya (OKU) dan wanita yang perlu bersaing sesama rakyat lain untuk dilantik sebagai Senator dan terlibat secara aktif menggubal undang-undang di Parlimen.
“Tujuan Dewan Negara ini sebenarnya untuk mengetengahkan individu yang tidak terpilih secara pilihan raya sebagai wakil. Misalnya Orang Asli, seorang wakil mereka dilantik sebagai Senator agar suara dan pandangan mereka dapat diangkat di dalam Parlimen.
“Jika diadakan pilihan raya, maka ia tidak menepati semangat asas Dewan Negara itu sendiri, bagaimana pula dengan golongan minoriti dan wakil profesional. Bagi saya, tiada masalah (mengadakan pilihan raya Dewan Negara) tetapi bukan semua dan perlu ada ruang untuk wakil kumpulan tertentu untuk dilantik sebagai Senator,” katanya.
Sebelum ini, sekumpulan 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan supaya mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ahli Dewan Negara memandangkan amalan semasa tidak dilakukan secara demokratik.
Berdasarkan Perkara 45 (2) Perlembagaan Persekutuan, keanggotaan 70 ahli Dewan Negara terbahagi kepada dua iaitu 26 individu dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai wakil 13 negeri iaitu masing-masing dua wakil, manakala baki 44 ahli dilantik Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu ahli masing-masing dari Labuan dan Putrajaya.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, meskipun tidak dilakukan secara pilihan raya, terdapat 26 Senator dilantik oleh DUN menerusi pemilihan dalam kalangan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih oleh rakyat.
“Tidak boleh kata, senator dilantik secara terus kerana ada sebahagian dilantik secara pemilihan yang dilakukan di peringkat negeri,” katanya.
Dalam itu, Wan Junaidi mencadangkan usia kelayakan keanggotaan Dewan Negara hendaklah diturunkan di bawah had minimum 30 tahun untuk membuka lebih banyak peluang kepada belia untuk menjadi wakil dalam Parlimen.
Katanya, antara kelayakan untuk menjadi Senator mestilah berumur melebihi usia 30 tahun dan ia dilihat menyekat mana-mana perwakilan belia termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa untuk berada di dalam Dewan Negara.
Malah kerajaan sebelum ini memutuskan untuk mengurangkan had umur 30 tahun bagi belia di Malaysia bermula 1 Januari 2026 berbanding sekarang ini ialah 40 tahun.
“Jika negara mahu ada wakil belia di Parlimen, had usia kelayakan Senator perlu diturunkan daripada 30 tahun dengan melakukan pindaan Perkara 47 (a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Selain itu, Wan Junaidi menepis persepsi sesetengah pihak yang mengatakan Dewan Negara hanya sebagai ‘rubber stamp’ sedangkan mereka juga berperanan sama seperti Dewan Rakyat yang perlu membahas dan meluluskan sebarang rang undang-undang (RUU).
Katanya, Dewan Negara kena memastikan kelulusan sebuah akta yang dibahas di Parlimen dibuat dengan licin dan mendalam sama ada di peringkat jawatankuasa atau mesyuarat.
supaya undang-undang dapat berjalan dengan baik.
“Jika cakap kami ini Dewan Negara hanya ‘rubber stamp’, maka Dewan Rakyat pun sama kerana meluluskan sebarang undang-undang yang dibawa kerajaan tanpa menolak. Jadi cakap-cakap kami rubber stamp ini, sebenarnya tidak faham proses penggubalan undang-undang negara ini,” katanya. – UTUSAN











