KUALA LUMPUR: DAP masih berpegang kepada janji yang dimeterai untuk tidak mempertikai agenda memperkukuh kedudukan Melayu dan Islam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO masih membawa perjuangan sama untuk orang Melayu, malah ruang secara meluas diberikan Kerajaan Perpaduan bagi meneruskan agenda yang dirancang.
“Apa yang kita rasa ketika ini tidak sama seperti bersama dengan Bersatu dan Pas suatu ketika dulu. Sentiasa dikhianati, ditikam dari belakang dan ada nilai persaingan tidak sihat dalam banyak perkara.
“Dalam keadaan sekarang, Kerajaan Perpaduan memberi ruang sepenuhnya untuk melaksanakan sebarang program demi kepentingan Melayu dan Islam.
Umpamanya, diberi peranan sebagai Sekretariat Kongres Ekonomi Bumiputera. Jadi kita nampak UMNO diberi ruang untuk perkukuh Islam dan Melayu.
“Sehingga hari ini, DAP masih hormat perjanjian, mereka tidak pertikai apa juga agenda yang UMNO cadang untuk perkasa Islam, menaikkan bajet Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), program Mara banyak memberi fokus kepada orang Melayu dan ia tiada isu. Presiden kembalikan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dengan peruntukan yang lebih besar? Tiada isu juga,” katanya.
Asyraf Wajdi tidak menjelaskan sama ada UMNO kini berada dalam keadaan selesa bersama DAP, namun keadaan itu dilihat lebih baik jika dibandingkan sewaktu UMNO bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah menyebut DAP telah memberi komitmen bahawa parti itu sentiasa menghormati agama Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, perkara itu telah dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke semasa penubuhan Kerajaan Perpaduan yang merangkumi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) serta rakan gabungan dari Sabah dan Sarawak.
Asyraf Wajdi mengingatkan ahli UMNO supaya tidak angkuh kerana bukan lagi sebuah kuasa besar seperti dulu yang mampu memimpin negara tanpa kerjasama dengan parti-parti lain.
“Angkuh ini kita cakap untuk pelbagai peringkat sebab kita bukan macam kerajaan dulu lagi. Kita perlu fikir yang rakyat sedang memerhati kita dan ingin melihat UMNO berubah dengan wajah baharu, lebih humble, tidak mendongak ke langit, mengejar erti perjuangan hakiki.
“Siapa lagi yang hendak jaga Islam dan Melayu kalau bukan UMNO? Hendak harapkan Pas? Atau hendak harapkan Bersatu yang ekstrim bergaduh sesama sendiri?” soalnya. – UTUSAN










