Aki Bentayan suburkan bahasa Mat Kilau, Tok Gajah

Aki Bentayan suburkan bahasa Mat Kilau, Tok Gajah

SEBAHAGIAN perkataan bahasa lama Pulau Tawar yang dituturkan oleh Pahlawan Melayu Mat Kilau dan Tok Gajah terpampang di kedai Mohd. Razali Mulud di Kampung Bandar, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pencinta bahasa bahasa Melayu dialek tempatan, Mohd. Razali Mulud, 64, mempunyai cara tersendiri untuk memperkenal bahasa (dialek) kampung kepada pengunjung luar yang singgah di Kampung Pulau Tawar, di sini.

Mohd. Razali sanggup menulis perkataan dialek (kolokial) Pulau Tawar atau lebih dikenali sebagai bahasa yang dituturkan oleh Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau dan bapanya, Imam Perang Rasu Shahrum atau Tok Gajah sejak tokoh tersebut dilahirkan serta bermastautin di Kampung Kedondong pada abad ke-19, lalu dipampangkan di hadapan kedai kopinya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Razali berkata, dia mengambil inisiatif mengangkat semula warisan Mat Kilau di Pulau Tawar memandangkan dialek itu semakin dilupakan oleh generasi hari ini khususnya anak muda yang berasal dari kampung tersebut.

“Asimilasi bahasa luar termasuk bahasa Inggeris dan ujaran mahupun slanga yang kerap digunakan menerusi laman sosial Facebook serta Tiktok sudah menghapuskan bahasa lama Pulau Tawar.

“Saya terpanggil untuk mengangkat dan membugarkan semula dialek Pulau Tawar yang diwariskan oleh Mat Kilau dan orang-orang tua di sini lebih satu abad lalu supaya terus menjadi sebutan dalam perbualan harian oleh generasi akan datang,” katanya di Kampung Bandar yang terletak bersebelahan dengan Makam Mat Kilau di Kampung Kedondong, dekat sini semalam

Mohd. Razali yang sinonim dikenali Aki Bentayan oleh penduduk setempat berkata, dia membelanjakan hampir RM200 untuk menyediakan cat dan mencari papan terbuang untuk menukilkan bahasa lama Pulau Tawar lalu dipamerkan di dinding kedai kopinya sejak 2019 setelah menamatkan kerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Johor.

“Penyampaian cara ini sesuai kerana ramai pengunjung dari seluruh negara yang datang melawat makam Mat Kilau di Kampung Kedondong dan kesan sejarah perjuangan perwira Melayu di sini akan singgah di kedai ini serta berpeluang melihat serta mempelajari bahasa (dialek) Pulau Tawar.

“Lagipun, pendekatan saya mempamerkan perkataan ini juga dapat mengingatkan anak muda Pulau Tawar yang semakin lupa bahasa Mat Kilau kerana dipengaruhi pendidikan formal sehingga ke peringkat tinggi, pengikut bahasa slanga dalam laman Fecebook, Tiktok dan sebagainya,” katanya.

Mengambil contoh dialek lama Pulau Tawar, Mohd. Razali berkata, perkataan ‘Cemak’ bermaksud luka yang mengeluarkan darah yang banyak dan parah akibat disebabkan kemalangan.

“Inilah antara contoh bahasa lama Pulau Tawar dan dianggarkan lebih 1,000 dialek atau kolokial tempatan (Kampung Pulau Tawar) kian pupus sekiranya tidak dituturkan semula sebagai bahasa malar segar dalam perbualan harian di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×