KUALA LUMPUR: Kuasa merombak jawatan pengerusi dalam syarikat milik kerajaan (GLC) adalah hak Perdana Menteri, namun perkara itu perlu menjadi pertimbangan bagi menjamin keuntungan syarikat terbabit.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, sewajarnya perkara ini perlu disemak semula supaya meletakkan individu yang benar-benar layak mengikut kepakaran mereka selaras dengan bidang syarikat berkenaan, sekali gus prestasinya boleh dipertingkat.
Malah katanya, dengan cara itu ia tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak atau orang awam untuk mempertikai lantikan tersebut.
“Isu berkaitan lantikan GLC ini bukan perkara baharu kerana dalam konteks lantikan GLC, perlu dielakkan perkara berkaitan dengan rasuah dan perketat proses lantikan yang mana individu benar-benar pakar sahaja boleh duduk di jawatan tersebut. Saya berpandangan keutamaan perlu diberikan dalam dua aspek ini.
“Kalau mereka tidak ada kepakaran mengapa nak duduk di kerusi itu? Tidak bolehlah ada mana-mana individu yang pegang jawatan ketua bahagian parti diangkat sebagai pengerusi GLC. Ini perlu diubah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan sudah tiba masanya kerajaan menilai prestasi dalam kalangan ahli politik yang dilantik mengetuai syarikan GLC.
Ini termasuk melakukan rombakan jika ada yang gagal menunjukkan prestasi baik sehingga syarikat mengalami kerugian.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penilaian bagi setiap syarikat GLC perlu dibuat secara berkala bagi memastikan syarikat berkenaan berada dalam prestasi yang diharapkan kerajaan.
“Setiap pemimpin GLC yang dilantik perlu memastikan syarikat berkenaan berada dalam prestasi cemerlang, jadi amat wajar ia dinilai bukan sahaja secara adhock tetapi berkala bagi memenuhi aspirasi Kerajaan Madani.
“Sama ada ingin membuat rombakan semula dalam GLC, ia terpulang kepada Perdana Menteri, yang paling penting prestasi syarikat GLC itu perlu dipastikan dan bukan hanya sekadang mengisi kekosongan jawatan pengerusi tanpa sebarang tindakan konstruktif,” ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Tabung Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) Nasional, Mohd. Sany Hamzan berkata, beliau bersedi digugurkan jika kerajaan tidak melihat sebarang perkembangan positif dalam apa yang diusahakan terhadap GLC itu.
“Bila kita diberikan amanah, maka ini adalah tanggungjawab untuk memperbaiki dan menaikkan imej syarikat GLC tersebut. Cuma kalau nak dinilai dalam masa setahun, pada saya ia masa terlalu singkat kerana ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan dalam tempoh yang lebih daripada itu.
“Kalau prestasi saya tidak nampak positifnya, saya bersedia untuk digugurkan,” katanya. – UTUSAN











