PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan menilai prestasi dalam kalangan ahli politik yang dilantik mengetuai syarikat milik kerajaan (GLC).
Ini termasuk melakukan rombakan jika ada yang gagal menunjukkan prestasi baik sehingga syarikat mengalami kerugian.
Langkah itu akan menjadikan mereka lebih bertanggungjawab kerana prestasi mereka sentiasa dipantau bukan sahaja dalam organisasi berkaitan, malah oleh rakyat yang melihat keupayaan pengurusan GLC membawa perubahan.
Jika berlaku, ini merupakan kali pertama rombakan dilakukan terhadap pengurusan GLC atas faktor prestasi.
Ketika ini rombakan pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC hanya dilakukan jika berlaku perubahan kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, keadaan itu sekali gus menyebabkan mereka leka untuk menjalankan peranan masing-masing sehingga tidak membawa sebarang kemajuan kepada syarikat.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan mereka leka untuk menjalankan peranan masing-masing sehingga tidak membawa sebarang kemajuan kepada syarikat.
Katanya, jika Perdana Menteri berani melakukan rombakan terhadap anggota Kabinet yang kurang efisien, perkara sama perlu dilakukan dalam kalangan pengurusan GLC khususnya lantikan politik.
“Kita tidak mahu duit dibazirkan begitu sahaja dengan membayar elaun dan gaji pengerusi dan ahli lembaga pengarah yang tidak berupaya dan efektif dalam membawa sebarang perubahan dan gagal menunjukkan prestasi kepada organisasi.
“Oleh itu, pihak pengurusan yang tidak berkesan wajar dirombak mengikut peraturan dan undang-undang. Perkara ini boleh dilakukan dengan meneliti laporan syarikat yang dikeluarkan pada setiap tahun, selain menjadikan kemajuan organisasi sebagai syarat utama pelantikan,” katanya.
Sebelum ini, pelantikan ahli politik dalam GLC sering mencetuskan pelbagai perdebatan dalam kalangan orang ramai yang mempertikai kelayakan dan keupayaan mereka hingga ada pihak menyifatkannya sebagai habuan politik.
Hal ini kerana terdapat ahli politik yang dibawa ke dalam GLC sering mencampur aduk agenda politik dengan kepentingan syarikat hingga gagal menjalankan amanah dengan penuh integriti dan bebas daripada salah guna kuasa.
Dalam pada itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kerajaan wajar melakukan rombakan terhadap pengurusan GLC pada setiap tahun termasuk mereka yang didapati gagal menunjukkan prestasi cemerlang dan terlibat dalam salah guna kuasa.
Katanya, rombakan pengerusi dan ahli lembaga pengarah tidak pernah dilakukan kerana tempoh pelantikan mereka berdasarkan tempoh tertentu sekali gus membuka ruang untuk melakukan tugas dengan sambil lewa.
Beliau melihat perubahan pengurusan GLC perlu dilakukan pada setiap tahun dengan melihat prestasi syarikat sama ada benar-benar membawa pulangan atau kerugian.
“Kita mahu pelantikan ini benar-benar menjalankan tugasnya dengan lebih baik agar tidak dipertikaikan lantikan dan membuktikan keupayaannya bukan sahaja atas nama individu, malah untuk memelihara nama baik partinya.
“Selagi yang dilantik secara lantikan politik itu mempunyai kelayakan dan mampu menyumbang dalam mana-mana organisasi maka ia sepatutnya tidak menjadi isu,” katanya. – UTUSAN










