PUTRAJAYA: Malaysia mengambil langkah tegas dalam menangani peningkatan semula kes Covid-19 bagi memastikan ia tidak menjejaskan kehidupan rakyat dan negara.
Ini termasuk arahan supaya kumpulan rentan dan berisiko mengambil dos penggalak di samping melakukan saringan kesihatan yang ketat di pintu-pintu masuk negara bagi mengawal penularan dari luar.
Ini bagi memastikan penularannya terkawal dan negara tidak kembali ke fasa pandemik hingga melibatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang boleh mendatangkan kerugian kira-kira 2.4 bilion sehari kepada ekonomi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, untuk itu orang ramai digalakkan segera mengambil dos penggalak walaupun kadar jangkitan ketika ini masih rendah.
“Kementerian akan keluarkan satu arahan mengenai dos penggalak dan ini perlu terutama kepada kumpulan rentan yang ada risiko komorbiditi,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini semalam.
Beliau memberi jaminan bahawa stok vaksin dos penggalak masih mencukupi dalam simpanan kementerian dan belum mencapai tarikh luput penggunaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa mengambil langkah berwaspada dengan kembali mengamalkan pemakaian pelitup muka apabila berada di tempat sesak.
Mereka yang dikesan ada gejala Covid-19 pula ujar beliau, dinasihatkan supaya mengelak berada di kawasan awam untuk mengurangkan risiko penularan kes kepada individu lain.
Singapura
Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya turut bersedia mempertimbangkan saringan ketat di dua pintu masuk negara dengan Singapura.
Ini ekoran lonjakan kes penyakit berkenaan di republik tersebut melebihi 50 peratus sejak dua minggu lalu sehingga menyebabkan permintaan tinggi kit ujian di farmasi negara berkenaan.
Katanya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, kerajaan tidak mengambil ringan dengan apa yang berlaku di negara-negara jiran.
“Jika kita perhatikan ada keperluan, ia akan membawa kepada langkah intervensi dan mitigasi yang bersesuaian berbanding dengan memberikan amaran.
“Semua tindakan akan kita pertimbang dan kementerian ada pelan tindakan seandainya timbul keperluan secara kecemasan,” ujarnya.
Isnin lepas, Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan lonjakan kes Covid-19 kepada 32,035 kes dari 26 November sehingga 2 Disember lalu berbanding minggu sebelumnya.
Beberapa buah hospital utama di republik itu sudah meningkatkan pemantauan trend peningkatan pesakit baharu menjelang perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2024.
Bagi Malaysia, sebanyak 12,757 kes Covid-19 dilaporkan pada minggu tiga hingga 9 Disember lalu berbanding 6,796 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.
Gejala ringan
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan kes Covid-19 di Malaysia walaupun bertambah namun masih terkawal.
Majoriti kes di seluruh negara ketika ini hanya mengalami isu gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital meskipun kemasukan pesakit ada pertambahan sedikit.
Jelasnya, walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 dicatatkan, secara keseluruhannya keadaan di negara ini masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.
Dalam pada itu, negara bakal berhadapan kerugian kira-kira RM2.4 bilion sehari jika rakyat mengambil mudah pencegahan Covid-19 hingga membawa kepada PKP.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, terdapat kaedah lain yang boleh digunakan supaya ekonomi berjalan seperti biasa, antaranya kaedah maya berbanding fizikal yang menjadi amalan ketika ini.
“Pengalaman lalu lebih setahun menjalani PKP mengajar kita banyak perkara termasuk pergerakan ekonomi secara maya, maka sebab itu penutupan ekonomi bukan jalan terbaik jika PKP diadakan semula.
“Sebenarnya kita sudah pun belajar bagaimana kehidupan maya boleh menggantikan perniagaan fizikal,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, virus Covid-19 masih belum hilang sepenuhnya dalam ‘kehidupan’ manusia.
Untuk itu, semua pihak perlu berwaspada dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya walaupun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan penamatan Covid-19 sebagai kecemasan global. – UTUSAN










