ARAU: Seolah-olah berada dalam dimensi masa berbeza berlatar belakang suasana zaman pendekar Melayu zaman dahulu kala saat kaki melangkah masuk ruangan Arauberry Flea Market di Pekan Lama Arau di sini.
Mana tidaknya, para vendor dan peniaga di situ memakai pakaian zaman dahulu seperti kain sarong, kurung Kedah, kebaya dan pakaian seperti pendekar Melayu dahulu kala selain ribuan pengunjung juga mengikut tema sama iaitu ‘Sarong Culture’ sepanjang tiga hari acara itu bermula dari Jumaat sehingga Ahad lalu.
Arauberry Flea Market berkonsepkan ruangan acara yang dianjurkan dua kali sebulan dengan pelbagai tema berbeza itu menjadi tarikan baharu dan merupakan yang pertama di Perlis.
PERTAMA
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Arauberry, Mohd. Fakhruddin Abd. Latif berkata, Arauberry Flea Market berkonsepkan ruangan acara tersebut merupakan yang pertama di negeri ini dan mendapat sambutan yang baik setiap kali penganjurannya.
Katanya, sekitar 20 vendor dari sekitar negeri ini dan utara yang menyertai acara di Arauberry merangkumi makanan, kopi, pakaian, barangan terpakai, kraf, hidangan pencuci mulut, kesenian dan pelbagai lagi.
“Bagi acara minggu lalu membabitkan tema Sarong Culture yang mendapat sokongan cukup baik apabila peniaga dan pengunjung memperagakan pakaian berkonsepkan tema itu sekali gus menjadikan suasana di Arauberry sangat menarik dan mengujakan.
“Sambutan yang diterima juga sangat memberangsangkan dengan tiga hari penganjuran mencatatkan anggaran kehadiran antara 5,000 sehingga 6,000 orang,” katanya.
Sementara itu, seorang penjual donat, Mohamad Firdaus Abu Bakar, 36, berkata, sambutan diterima sepanjang tiga hari penganjuran sangat memberangsangkan.
Katanya, hasil jualan para penjual atau vendor juga sangat baik sepanjang acara yang disifatkan cukup unik dan menarik sebagai tarikan baharu di negeri ini.
Seorang pengunjung, Azlan Ismail, 37, pula berkata, dia seolah-olah berada di dunia berbeza apabila memasuki Arauberry dengan suasana cukup mempesona khususnya dengan tema yang diketengahkan tersebut.
“Seperti berada di tempat jual beli pada zaman pendekar dahulu kala dengan penjual dan pengunjung memakai pakaian seperti berada di zaman berkenaan,” katanya. – UTUSAN










