MDEC, Huawei bantu syarikat teknologi Malaysia

MDEC, Huawei bantu syarikat teknologi Malaysia tembusi pasaran China

MOHD. Nazrol Marzuke (enam dari kiri) bersama Simon Sun (lima dari kiri) dalam Majlis Pelancaran Program Pemecut Global Go 2023 di sini hari ini. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Huawei dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah melancarkan Program Pemecut Global Go bagi membantu syarikat teknologi tempatan menembusi pasaran China.

Ia sekali gus dapat mewujudkan hubungan dan peluang yang berharga untuk usahawan teknologi tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz, berkata, kerjasama bersama Huawei Cloud adalah bukti komitmen perbadanan itu untuk memupuk dan menginkubasi perusahaan perisian Malaysia yang kukuh.

“Program Pemecut Global Go menawarkan sistem sokongan yang komprehensif, termasuk kepakaran teknikal global dan serantau, perkongsian komuniti rakan kongsi dan peneraju, sambungan ekosistem yang dibantu oleh pasukan operasi yang berdedikasi.

“Program ini turut menawarkan pelaburan sehingga AS$5 juta (RM23.4 juta) termasuk kredit Huawei Cloud sepanjang program ini pada 2024 dengan mempamerkan dedikasi untuk memupuk pertumbuhan yang mampan,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Program Pemecut Global Go 2023 di sini, hari ini.

Jelas beliau, MDEC dan Huawei Cloud berganding bahu dalam memupuk dan menginkubasi perusahaan perisian Malaysia yang kukuh.

“Apa yang pasti inisiatif ini bukan semata-mata untuk memupuk pertumbuhan, ia adalah mengenai mewujudkan rakan kongsi yang mampan dan bersedia untuk berkhidmat kepada perusahaan berskala sederhana hingga besar di seluruh dunia,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Infrastruktur dan Aplikasi Kementerian Komunikasi dan Digital, Mohd. Nazrol Marzuke dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun serta Timbalan Presiden Huawei Cloud Malaysia, Andy Wei.

Dalam pada itu, Simon Sun berkata, Huawei Cloud komited untuk membina ekosistem mampan baharu, dan telah melancarkan rangka kerja ekosistem baharu termasuk GoCloud dan GrowCloud.

“GoCloud bertujuan menggalakkan rakan kongsi untuk memanfaatkan keupayaan Huawei Cloud untuk membina produk, penyelesaian dan perkhidmatan, manakala GrowCloud bertujuan memotivasikan rakan kongsi membantu Huawei Cloud mengembangkan jualan dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan.

“Kami juga turut berbangga dapat bekerjasama rapat dengan MDEC dan teruja untuk melancarkan program berkenaan bagi menyokong syarikat tempatan ke pasaran global dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Jelasnya, Huawei akan terus bekerja keras untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi membina ekosistem tempatan di Malaysia dan global.

“Tahun depan menandakan satu lagi peristiwa penting, iaitu ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, serta ulang tahun ke-23 penubuhan Huawei Malaysia.

“Kami berharap kerjasama bersama MDEC  akan membantu mempromosikan komunikasi serta pertukaran antara perusahaan teknologi China dan Malaysia, dan dengan penggunaan platform awan Huawei, mempercepatkan pengembangan perniagaan antarabangsa mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×