PETALING JAYA: OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) terpilih sebagai “Bank Terbaik 2023” oleh The Banker yang berpangkalan di London.
OCBC Bank dalam kenyataan berkata, anugerah mengiktiraf pencapaian luar biasa institusi kewangan itu berasaskan penilaian data lembaran imbangan, inisiatif strategik, teknologi, produk dan perkhidmatan baharu.
“Skop anugerah meliputi lebih daripada 120 negara di seluruh dunia dengan pengadilan dilakukan oleh panel pengarang yang terdiri daripada pakar serantau dan sektor,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen berkata, pengiktirafan membuktikan ketepatan hala tuju Kumpulan yang berkisar pada kelestarian, pendigitalan, tumpuan terhadap pelanggan dan kakitangan.
“Anugerah ini akan mendorong kami melakukan lebih untuk masyarakat dan terus mencabar diri menjadi cemerlang dan berusaha lebih gigih,” katanya.
Tambah Chor Sen, Kumpulan percaya akan mengukuhkan kedudukan sebagai bank terbaik bagi masyarakat di tempat beroperasi di Malaysia dan serantau.
Dalam pada itu, The Banker berkata, OCBC Bank mengambil langkah meningkatkan komitmen kepada usaha mesra alam, menyokong pelanggan runcit dan membuka peluang baharu bagi kakitangannya
“OCBC Bank telah menandatangani memorandum kerjasama dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia.
“Ia mempromosi sistem operasi karbon rendah yang disepadukan dalam pelan pembiayaan peralihan bank bagi pelanggan korporat dan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya. – UTUSAN










