Mahut gadai nyawa demi gajah

Mahut gadai nyawa demi gajah

MAHUT Muhammad Suhairi Ishak dan Rambai, menunjukkan cara mereka memindahkan gajah dari hutan untuk dibawa ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang. -UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Jika mengunjungi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah dekat Temerloh, Pahang, kita pasti terpesona dengan kemesraan gajah dan penjaganya. Namun di sebalik kemesraan itu ada risiko bagi penjinak gajah atau mahut termasuk kehilangan nyawa. 

Tugas sebagai mahut ataupun penjinak gajah bukan mudah kerana risikonya boleh menggadai nyawa jika dipijak oleh haiwan itu yang kebiasaannya memiliki saiz tapak kaki sehingga 17 inci dan berat antara tiga hingga lapan tan bagi seekor gajah dewasa jantan. 

Gajah yang dijinakkan dikenali sebagai denak adalah haiwan yang dilatih oleh mahut digunakan untuk membantu operasi pemindahan gajah liar yang mengganggu ketenteraman atau membahayakan keselamatan orang awam.

Peranan gajah denak turut digunakan dalam operasi pemindahan anak gajah yang diselamatkan.

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan program tangkapan dan juga penempatan semula gajah liar yang menghadapi konfik.

Seseorang mahut tidak hanya bertugas sebagai pengasuh dengan memberi makan, memandikan dan melatih gajah malah perlu setiap hari memantau kesihatan serta merawat jika haiwan itu tidak sihat.

Seekor gajah biasanya dijaga dan dilatih oleh seorang atau dua orang mahut sahaja bagi mewujudkan persefahaman antara penjinak dengan gajah peliharaan.

MAHUT menunjukkan cara mereka memindahkan gajah dari hutan untuk dibawa ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK).

Selain mengendalikan gajah asuhannya, mahut juga berdepan tugas cukup mencabar apabila perlu turun ke lapangan bagi mencari dan menangkap gajah liar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, teknik menjinakkan gajah yang dipelajari mahut di sini dilatih pengembala dari Assam, India yang dibawa masuk bersama empat gajah denak iaitu Lal Bahadul, Paul Bahadul, Ganesh dan Lokimala.

“Teknik latihannya menggunakan teknik melasikar atau lasso iaitu teknik menangkap gajah menggunakan tali lasso atau tali jerut,” katanya di sini semalam.

Sejak 1974, teknik tangkapan gajah diperbaiki dan pada 1975, ubat pelali digunakan manakala penggunaan rantai besi diperkenalkan pada 1985, sebelum penubuhan pusat operasi tetap di Kuala Gandah pada 1989. 

Sejak 1974 sehingga kini, kira-kira 1,143 ekor gajah berjaya menjalani proses translokasi di mana program pemindahan atau translokasi gajah pertama adalah pada 11 Mei 1974 di Felda Jengka 7, Pahang.

Mengulas lanjut, Che Ku Mohd. Zamzuri berkata, cabaran mahut ketika bertugas dalam operasi melibatkan hidupan liar ini adalah mengalami kecederaan atau maut pada bila-bila masa.

Menguasai ‘bahasa’ untuk ‘bercakap’ dengan gajah

Selain perlu mengambil risiko berhadapan dengan mamalia darat terbesar itu, mahut juga perlu menguasai ‘bahasa’ gajah untuk menjinakkannya.

Antara risiko yang perlu dihadapi mahut adalah mereka perlu berada di bawah gajah yang ditangkap untuk membuka rantai di kaki haiwan berkenaan.

“Unit Tangkapan Gajah menangkap dan memasang rantai pada kedua-dua kaki hadapan haiwan itu.

“Setelah pelali ditembak, kita akan memotong rantai tersebut, sebelum haiwan itu diapit dua ekor gajah denak, ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Seorang mahut, Mohd. Rezha Rosli, 34, berkata, tugas mencabar itu memerlukan minat serta kesungguhan kerana bukan mudah menguruskan seekor gajah. 

Menurutnya, setiap mahut juga perlu mahir dalam memberikan arahan kepada gajah-gajah separuh jinak itu melalui bahasa dan sentuhan.

“Bahasa yang digunakan adalah bahasa Kuala Gandah yang dicampur bahasa Siam, India dan Myanmar. 

“Lebih kurang 13 perkataan digunakan untuk bercakap dengan gajah ini antaranya seperti hing (bahasa Siam) bermaksud jalan, boiat (bahasa India) duduk dan mek (duduk) bahasa Myanmar,” katanya. 

Beliau yang sudah 13 tahun menjadi mahut berkata, pengalaman yang tidak akan dilupakan olehnya adalah dikejar gajah liar ketika operasi menangkap haiwan itu di Taman Negara, Jerantut pada 2012.

DISEPAK, DILIBAS BELALAI

Mahut wanita di PKGK Kuala Gandah, Norain Saudi, 34, berkata, jatuh dari gajah, disepak dan dilibas dengan belalai adalah perkara biasa. 

“Tiada ilmu ataupun unsur mistik berkenaan gajah. Apa yang penting kemahiran dan juga persefahaman antara mahut dan gajah. Mahut perlu sentiasa memiliki sifat kasih dan sayang di antara manusia dan haiwan,” katanya. 

Bekas mahut yang 41 tahun bersama dengan gajah, Saudi Sidek, 64, berkata, antara cabaran utama mahut semasa operasi pemindahan gajah ialah faktor bentuk muka bumi, keadaan hutan yang mengehadkan pergerakan dan risiko serangan gajah.

“Anggota yang terlibat dalam operasi itu perlu cergas, komited dan memahami perilaku gajah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

PENGUNJUNG diberi peluang memberi makan kepada gajah.

Beliau berkata, peristiwa pahit yang dialaminya, dia pernah ditusuk gading ketika sang rimba itu dalam keadaan marah, bagaimanapun ia tidak parah tetapi masih berbekas sehingga kini.

“Pengalaman menunggang gajah denak buta ketika diminta bertugas selama 34 hari di Vietnam dan berjaya menangkap lapan ekor gajah liar di negara itu turut menjadi kenangan,” katanya.

Ditanya bagaimana gajah boleh naik angin, beliau berkata, jika melibatkan gajah liar, haiwan itu hanya akan mengamuk sekiranya dikacau. 

“Gajah liar ini tidak akan mengamuk jika tidak dikacau, jangan berani tak bertempat, gajah bukan lawan kita. Kalau dah berlaku situasi ini 50-50, perlu cekal hati, mematikan diri buat seketika dan apa yang penting, jangan duduk atas laluannya.

“Kalau gajah denak, biasanya naik angin bila turun minyak. Bila nak turun minyak ini, tanda-tandanya telinga gajah basah kiri dan kanan serta bengkak telinga kiri dan kanan. Biasa kalau macam ini, kita akan kuarantin dan kalau hendak cepat, korek bahagian telinga, biar cepat pengeluaran air. Situasi ini berlaku ketika musim mengawan,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×