Stadium bola pun kita tidak tahu jaga

Stadium bola pun kita tidak tahu jaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM semasa dan selepas perlawanan. Semua orang bercakap tentang kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Bukan setakat penyokong JDT dan Terengganu, hampir setiap peminat boleh sepak di negara tidak terlepas daripada memberi komen. Tinjaulah media-media sosial, lihat sendiri apa pandangan peminat.

Sebabnya apa? Pertama bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini. Kalau sukan ini mahu maju kemudahan juga mesti bertaraf dunia. Kalau dilihat kepada pencapaian dan kemudahan asas yang dimiliki negara kita Malaysia ini sepatutnya sudah sebaris dengan negara-negara maju. Pa­ling tidak pun setanding dengan jiran kita di selatan.

Kita tidak ada masalah untuk membina lebuh raya bertaraf dunia dari utara hingga ke selatan. Tiga pencakar langit antara yang tertinggi di dunia letaknya di Kuala Lumpur. Kita juga ada stadium bola sepak dengan kapasiti 80,000. Boleh dikatakan setanding dengan stadium-stadium terkemuka lain.

Tetapi di sebalik segala fasiliti fizikal bertaraf dunia itu, kita gagal maju kerana kita kalah daripada segi mentaliti. Mentaliti untuk menyelenggara kemudahan yang dibina merupakan masalah utama kita sejak daripada dahulu.

Seperti kata seorang sahabat yang datang jauh dari pelosok negeri Terengganu: “Macam mana nak kata kita sudah maju, stadium bola pun kita tidak tahu nak jaga.”

Ini adalah manifestasi kekecewaan peminat dan penyokong bola sepak terhadap kualiti Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jika situasi itu berlaku pada stadium lain, mungkin ramai tidak kisah. Tetapi stadium Bukit Jalil adalah ikon kepada industri sukan negara. Ia adalah stadium nasional yang menjadi lambang kemajuan dan martabat sukan negara.

Kalau stadium utama negara padangnya diibaratkan se­perti seluar jeans lusuh yang koyak sana, koyak sini ia juga memberi cerminan kepada mutu sukan negara ini dan cerminan kepada mentaliti para pentadbir sukan di negara tanah tumpah darah kita ini.

Ia seolah-olah para pemimpin dan peneraju sukan kita ini hidup seperti katak di bawah tempurung.

Seolah-olah mereka ini tidak pernah melihat stadium-stadium hebat di luar negara. Seolah-olah mereka tidak pernah melihat stadium milik kelab-kelab hebat luar negara seperti La LIga, Serie A, Liga Perdana Inggeris (EPL) dan sebagainya.

Di sana padang stadium mereka dianggap suci. Tidak boleh dipijak sembarangan kecuali pada hari pertandingan. Malah untuk latihan pun tidak dibenarkan. Sebaliknya disediakan padang de­ngan kualiti yang sama untuk tujuan itu.

Tetapi stadium nasional hanya memiliki fizikal bangunan yang gah dan hebat. Kualiti rumput dan padangnya langsung tidak layak untuk sebuah stadium yang menjadi kebanggaan negara.

Walau apa pun alasan yang diberikan oleh pihak pengurusan, sukar untuk diterima kerana ia turut membabitkan imej dan maruah negara.

Lebih-lebih lagi apabila pertolongan sudah pun diberikan untuk memulihkan rumput dan padang (dibaca untuk memulihkan imej negara). Walaupun ia hanya sekadar kemudahan sukan, tetapi SNBJ adalah ikon nasional, lambang kemajuan dan lambang kejayaan. Tidak patut begitu keadaannya.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia