PASIR MAS: Lebih 80 buah keluarga di Kampung Serongga di sini berdepan banjir termenung sejak seminggu lalu apabila limpahan air dari Sungai Lubok
Jong dan Sungai Golok masih belum surut walaupun cuaca semakin baik beberapa hari lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, situasi itu menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan perahu untuk urusan harian termasuklah
membeli makanan.
Seorang penduduk, Shazwan Hakimi Mohd. Noh, 22, berkata, setiap kali banjir, kawasan ini akan ditenggelami air sedalam 0.4 meter sehingga tiga meter.
“Setakat ini, kedalaman air di kawasan kampung ini 0.7 meter dan kami hanya boleh keluar atau masuk secara berjalan kaki
dengan meredah banjir selain menggunakan perahu masing-masing.
“Namun, apabila air sudah mencecah hampir tiga meter, kami sudah tidak mampu meredah banjir dan perlu dibantu oleh anggota keselamatan untuk berpindah. Hal ini kerana arus di sini sangat deras,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Shahrudin Amik, 48, memberitahu, situasi itu sememangnya mengganggu urusan harian penduduk.
Katanya, bagaimanapun majoriti penduduk di kampung ini mempunyai perahu masing-masing untuk digunakan ketika musim banjir.
“Walaupun sudah lali, kami reda dengan ujian ini. Setiap tahun, kampung ini sentiasa dilanda banjir, malah ada beberapa kediaman yang ditenggelami air sehingga paras bumbung,” katanya. – UTUSAN











