Kurikulum pendidikan mesti kekal walau kerajaan bertukar

Kurikulum pendidikan mesti kekal walau kerajaan bertukar

Kurikulum pendidikan sepatutnya kekal walaupun Menteri Pendidikan bertukar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dasar dan Kurikulum Persekolahan 2027 mesti kekal walaupun kerajaan Persekutuan bertukar agar tidak menjejaskan hala tuju melahirkan generasi masa depan yang berkualiti.

Untuk itu, sebarang kerangka dan dasar pendidikan negara yang ingin dilaksanakan tidak wajar melibatkan anasir dan pengaruh politik serta populis.

Sebaliknya ia mesti memenuhi manfaat terbesar iaitu anak-anak di peringkat sekolah rendah sehingga tertinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, perkara utama yang amat membimbangkan ibu bapa dan guru adalah setiap kali berlaku pertukaran kerajaan dan menteri, maka sering berlaku perubahan dasar pendidikan sedangkan kerangka sebelum ini sedang berjalan.

Katanya, pertukaran hala tuju pendidikan di pertengahan jalan bukan sahaja menambah beban murid dan tugas warga pendidik, malah menyebabkan objektif dan matlamat untuk melahirkan generasi seiring dengan perkembangan semasa terbantut.

“Tindakan mengubah dasar di tengah-tengah pelaksanaan menyebabkan objektif ditetapkan sebelum ini tergendala kerana belum mencapai sasaran, tetapi sudah diubah kerana mahu melakukan agenda baharu. Sebaiknya, tidak kira siapa jadi menteri atau kerajaan, kena diteruskan perancangan sebelum ini.

“Kita lihat pelbagai contoh sebelum ini antaranya konsep Sekolahku Sejahtera dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) walaupun niat baik, tetapi pelaksanaan kabur dan akhirnya menjadi mangsa adalah anak-anak dan guru itu sendiri,” katanya.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan hala tuju Kurikulum Persekolahan 2027 selaku kurikulum baharu sistem pendidikan negara yang menggariskan tiga pendekatan baharu iaitu pendidikan karakter, penekanan literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran bersepadu.

Kurikulum itu juga menetapkan tujuh domain atau teras dalam kerangka Kurikulum Persekolahan 2027, yang disifatkan mampu untuk melahirkan insan sejahtera dan mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek kehidupan iaitu perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat.

Kurikulum baharu itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala bagi murid prasekolah diperkenalkan setahun lebih awal iaitu pada 2026.

Justeru itu, Anuar berkata, Kurikulum Persekolahan 2027 perlu dirangka secara menyeluruh dan melihat jauh ke hadapan agar perancangan itu kalis masa depan dan mendepani cabaran mendatang.

Katanya, sebarang per­ubahan dan penambahbaikan hendak dilakukan, sebaiknya perancangan asal selesai dan bukannya ketika di tengah-tengah pelaksanaan.

“Misalnya Pelan Pemba­ngunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, ia perlu diteruskan sehingga 2025. Maka penambahbaikan boleh dilakukan, misalnya seperti Kurikulum Persekolahan 2027,” katanya.

Dalam nada sama, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya amat mengharapkan kandungan Kurikulum 2027 yang bakal dilaksanakan dalam sistem pendidikan kelak tetap dilaksanakan walaupun sesiapa yang memimpin kementerian pada masa akan datang.

Katanya, NUTP melihat kokurikulum baharu pendidikan yang dibentangkan oleh Menteri Pendidikan itu merupakan satu kerangka yang melihat keadaan bakal berlaku pada 2027 dan masih ada ruang untuk penambahbaikan, jika ada keperluan.

“Kita ada masa tiga tahun iaitu 2024, 2025 dan 2026 untuk tempoh melatih, memberi kemahiran dan meningkatkan pengetahuan guru berkaitan kurikulum 2027 ini. Jadi, tidak timbul isu tentang ketidakcukupan masa untuk sesi latihan kepada guru,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan, dengan wujudnya kerangka tentang hala tuju kurikulum pada 2027 itu, jelaslah bahawa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah memang tidak relevan.

“Jadi hentikan polemik tentang UPSR dan bersatu ke arah merealisasikan matlamat kurikulum 2027,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×