Khan Younis tidak selamat, mentua Nurul Ain pindah

Khan Younis tidak selamat, mentua Nurul Ain pindah

Seorang ahli keluarga membawa jenazah kanak-kanak perempuan yang terbunuh akibat serangan tentera Israel di Rafah, Semenanjung Gaza, semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Daerah Khan Younis di Semenanjung Gaza sudah tidak lagi selamat untuk diduduki rakyat Palestin apabila rejim Zio­nis memperhebatkan serangan udara dan darat di kawasan tersebut dengan menempatkan kereta kebal dan kereta perisai sehingga memaksa lebih ramai orang awam berpindah ke Rafah.

Tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis itu meng­akibatkan jumlah rakyat Palestin yang bertukar status kepada pelarian meningkat kepada 1.9 juta orang.

Melihatkan keadaan itu, rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, dan suaminya, Mohamed Adan Shaat, 33, terpaksa memujuk keluarga mentuanya untuk berpindah keluar dari kediaman mereka di Khan Younis disebabkan kehadiran tentera Israel di kawasan tersebut sejak tiga hari lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul Ain berkata, kakak dan adik iparnya yang menetap di kawasan berhampiran rumah mentuanya turut meninggalkan kediaman mereka walaupun sebelum ini mereka enggan berbuat demikian.

“Setelah beberapa kali dipujuk, akhirnya Baba (ayah mentua) bersetuju untuk berpindah ke rumah kakak ipar (anak ke tiga) di Al-Bahar semalam.

“Kakak sulung dan adik ipar saya turut meninggalkan rumah mereka untuk berlindung di lokasi sama buat sementara waktu ini.

“Keadaan di Khan Younis semakin genting kerana operasi ketenteraan ditingkatkan dengan serangan tidak henti-henti sejak gencatan senjata tamat, malah sudah banyak kereta kebal di atas jalan sekitar kawasan perumahan kami,” katanya ketika dihubungi semalam.

Al-Bahar adalah kawasan di pesisir pantai Gaza yang kini menempatkan ribuan pelarian Palestin yang meninggalkan kediaman masing-masing selepas dimaklumkan lokasi selamat daripada serangan rejim Zionis.

Nurul Ain turut berkongsi bahawa rejim Zionis bukan saja menyasarkan kediaman rakyat Palestin malah turut mengebom pasar raya dan sumber perolehan air bersih yang digunakan penduduk setempat.

“Tadi pun saya dapat per­khabaran kedia pemborong yang saya dan suami beli barangan bantuan sebelum ini, hancur dibom. Ayah saudara kepada peng­usahanya maut dalam serangan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Nurul Ain meminta rakyat Malaysia untuk terus mendoakan keselamatan rakyat Palestin dan teruskan bercakap soal kezaliman rejim Zionis terhadap mereka sehingga berjaya beroleh pembebasan mutlak.

Nurul Ain sebelum ini terkandas di Khan Younis, Gaza selepas bersama suaminya rakyat Palestin, Mohamed Adan Shaat, buat pertama kali menjejakkan kaki ke wilayah tersebut pada 1 Oktober lalu.

Beliau dan suaminya bagaimanapun berjaya meninggalkan Gaza selepas 37 hari terkandas di tengah-tengah perang antara Hamas dengan Israel pada 13 November lalu dengan bantuan Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kedutaan Malaysia di Mesir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×