Ringgit lemah positif untuk sektor pelancongan

Ringgit lemah positif untuk sektor pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tourism Malaysia menjangkakan industri pelancongan domestik melepasi tahap pra-pandemik Covid-19 pada tahun hadapan, didorong oleh peningkatan perjalanan bagi percutian, perniagaan, persidangan dan acara (MICE).

Timbalan Ketua Pengarah (Pemasaran) Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, Malaysia merupakan destinasi yang “value for money” bagi pelancong antarabangsa didorong oleh ringgit yang lemah ketika ini.

Beliau berkata, tinjauan pelancongan bagi 2024 adalah positif dan dijangka mencapai pemulihan sepenuhnya.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat mengulas lanjut kerana ia akan diumumkan oleh menteri kemudian,” katanya ditemui pada program Siri Fokus Stratum Ke-16 bertemakan `Pelancongan: Menyambut Fajar Baharu.’

Program itu merupakan kerjasama antara Hong Leong Investment Berhad dengan Bursa Malaysia bagi mengumpulkan pandangan daripada jemputan mengenai trend terkini prospek industri, potensi ancaman dan peluang dalam sektor pelancongan selepas pandemik Covid-19.

Tambah Musa Yusof, kehadiran pelancong asing ke Malaysia setakat Januari hingga September 2023 adalah sebanyak 14.4 juta.

“Sasaran kami untuk akhir tahun 2023 bagi sektor ini adalah sebanyak 19.1 juta ketibaan pelancong,” katanya.

Pandangan beliau disokong oleh Ketua Penyelidikan Ekuiti Penyelidikan HLIB, Jeremy Goh yang berkata, pertumbuhan industri pelancongan itu disasarkan meningkat 90 peratus berbanding tahun lepas.

“Pada tahun lepas, pertumbuhan industri pelancongan negara hanya 10 juta (ketibaan pelancong),” katanya.

Tambah Jeremy, Malaysia berada di tangga kedua selepas Thailand yang mengalami penyusutan nilai mata wang, sekaligus memberi kelebihan kepada pelawat untuk berkunjung ke negara ini

“Jika dilihat dari perspektif mata wang, mata wang Malaysia agak murah. Ringgit yang berprestasi paling lemah, sebenarnya positif untuk sektor pelancongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×