KOTA KINABALU: ‘Belas kasihan juga kepada kami, kami sentiasa cuba tawarkan tambang penerbangan yang murah, tapi kami pun perlu menjana kewangan. Bersikap adil dengan kami,”.
Itu luahan pengasas syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengenai isu tambang penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur yang mahal semasa musim perayaan.
Tony, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata, AirAsia sentiasa mencuba yang terbaik untuk menurunkan kadar tambang, namun dalam keadaan mata wang Amerika Syarikat (AS) yang kukuh dan harga minyak dunia meningkat, amat sukar untuk menurunkan kadar tambang.
“Sebanyak 70 peratus kos operasi kami bergantung kepada dolar AS. Ketika ini, dolar AS sangat kukuh dan saya juga tidak boleh kawal harga minyak yang naik sehingga AS$200. Kos kami memang meningkat.
“Apabila kos (minyak dunia) menurun, kami akan turunkan kadar tambang dan jika dilihat AirAsia masih lagi menawarkan tambang yang paling murah berbanding syarikat penerbangan lain,” katanya selepas pelancaran livery pada pesawat AirAsia bagi memperingati jasa wanita besi Lembaga Pelancongan Sabah, mendiang Datuk Irene Benggon Charuruks.
Hadir sama, Pengasas bersama AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.
Menurut Tony, AirAsia sentiasa menyediakan penerbangan tambahan semasa musim perayaan bagi memenuhi keperluan penumpang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Justeru, bagi mengelakkan tambang mahal, penumpang dinasihatkan untuk tidak membuat pembelian tiket penerbangan pada saat-saat akhir kerana situasi sedemikian menyebabkan tambang menjadi mahal.
Katanya, semasa musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri, AirAsia ada menyediakan penerbangan khas pada tengah malam.
Malah, Kementerian Pengangkutan juga menampung pembelian beberapa kerusi untuk diberikan kepada pelajar yang terkesan akibat tambang mahal.
“Itu sebabnya kami memerlukan kemudahan yang ringkas di lapangan terbang dan tidak menggunakan aerobridge, semua ini akan membantu mengurangkan kos.
“Kami memang mahu tawarkan tambang murah, itu dalam DNA kami. Tapi, kami juga perlu bertahan. Kami sengaja ingin mengenakan kadar tambang yang mahal kerana kami suka berbuat begitu? Tidak,” tegas beliau. – UTUSAN










