Selepas menang Kemaman, misi Pas tawan negara

Selepas menang Kemaman, misi Pas tawan negara

AHMAD Samsuri Mokhtar (berdiri, lima dari kiri) meraikan kemenangan mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman pada Sabtu lalu. Pas kini secara terbuka mahu Ahmad Samsuri menjadi Perdana Menteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas memenangi kerusi Parlimen Kemaman pada Sabtu lalu, Pas secara terbuka menyatakan bahawa misi mereka selepas ini adalah untuk ahli Parlimen Kemaman yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi Perdana Menteri.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPMM), Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, Pas akan terus bersama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menjayakan misi itu dan sete­rusnya membina negara.

Katanya, kemenangan Ahmad Samsuri pada PRK Kemaman itu merupakan kemenangan yang luar biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kemenangan selesa dengan majoriti yang besar sebanyak 37,220 undi meninggalkan calon Barisan Nasional (BN) jauh ke belakang membuktikan bahawa momentum sokongan rakyat terhadap Pas dan PN terus kekal, malah bertambah apabila berlaku peningkatan sebanyak 10,041 undi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Keputusan ini menjadi isyarat penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) -BN biarpun telah setahun berkuasa di Pusat bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ahmad Samsuri berjaya mengekalkan kemenangan Pas di Kemaman apabila meraih majoriti yang besar dalam perlawanan dua penjuru dengan BN yang diwakili oleh bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, kemenangan tersebut menunjukkan kejayaan yang didakwa oleh kerajaan sebelum ini hanya merupakan kegagalan.

“Momokan dan sentimen memburukkan pembangkang melalui naratif dana peruntukan dan 3R (isu agama, raja dan bangsa) tidak berjaya membekas di hati pengundi-pengundi.

“Sebaliknya menjadi ‘senjata makan tuan’ apabila kepercayaan rakyat terus bersama Pas dan PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN