Ringgit dijangka kembali mengukuh

Ringgit dijangka kembali mengukuh

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan ringgit dijangka kembali mengukuh didorong oleh faktor-faktor luar terutama nilai mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) kembali melemah, menurut penganalisis.

Ia susulan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell pada 1 Disember lalu yang mengatakan tiada lagi kenaikan kadar faedah yang kini berada pada aras 5 ke 5.25 peratus.

Berikutan itu, Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, berdasarkan ucapan Powell, para pengurus dana lebih yakin bahawa AS kini berada di puncak (kenaikan faedah) dan kini lebih cenderung untuk turun, bukannya menaikkan lagi kadar.

“Ini berikutan data terbaharu yang dikumpulkan menunjukkan ekonomi negara AS sudah perlahan, Index penunjuk kekuatan dolar AS juga menunjukkan penurunan dari 103 mata, turun -2.68 peratus dalam masa sebulan.

“Pasaran kewangan juga menunggu laporan data pengangguran AS pada akhir minggu ini yang boleh mempengaruhi prospek kadar faedah AS, sama ada akan dikekal atau diturunkan.

“Euro juga turun kepada $1.0829, berbanding dolar AS minggu lepas selepas data menunjukkan inflasi negara-negara Eropah telah jatuh kepada 2.4 peratus pada November.

“Ia mendorong pertaruhan bahawa bank pusat Eropah akan mengurangkan kadar faedah lebih cepat daripada dicadangkan. Justeru naik turun ringgit berbanding dolar AS lebih didorong oleh faktor luar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada 4.6600/4.6605.

Beliau berkata, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak boleh lari dan banyak dipengaruhi oleh faktor global, terutamanya apa yang berlaku di AS.

Menurut beliau,  sekiranya berlaku sesuatu peristiwa atau krisis, ekonomi global bagai tsunami, memberi perubahan dalam masa yang singkat sahaja dengan keseluruhan dunia kesan.

“Harga emas melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa melebihi AS$2,100 satu auns semalam, ketika kenyataan Powell yang meningkatkan keyakinan peniaga bahawa bank pusat AS itu boleh mengurangkan kadar faedah awal tahun depan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan Bursa Malaysia dijangka lebih positif minggu ini berdasarkan bursa-bursa utama menunjukkan sedikit peningkatan yang dipengaruhi oleh berita dari  Rizab Persekutuan AS yang tidak akan menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM, Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, kestabilan politik merupakan kunci utama kepada kekuatan ringgit.

“Melalui kestabilan politik, landskap ekonomi dapat dipacu dengan jayanya kerana pelbagai agenda ekonomi dapat dilaksanakan.

“Sebaliknya, ketidakstabilan politik akan menyebabkan pelbagai dasar dan hala tuju ekonomi sukar dilaksanakan dengan jayanya kerana kekangan politik yang tidak stabil mampu mempengaruhi dasar.

“Ini menyebabkan pelabur hilang keyakinan untuk melabur dalam negara, manakala pelabur sedia ada pula menutup operasi mereka untuk berhijrah ke negara jiran. Ini akan juga akan mempengaruhi sentiment pasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×