PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) telah menandatangani Perjanjian Induk (HOA) dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji kuasa fotovoltaik.
Projek itu dengan sasaran kapasiti sehingga 1,000 MW, dan penerokaan projek Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) lain yang berpotensi di Semenanjung Malaysia.
Dalam kenyataan, Malakoff berkata, kerjasama bertujuan meningkatkan portfolio RE Malakoff, sejajar dengan komitmen Syarikat kepada kemampanan dan memanfaatkan kepakaran secara strategik daripada kedua-dua pihak untuk pertumbuhan dan kejayaan bersama.
Menurutnya, HOA itu telah ditandatangani pada Persidangan COP28 di Dubai pada 1 Disember lalu oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib dan Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi.
Majlis disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak akan bersama-sama menjalankan penilaian teknikal dan komersial dan/atau kajian pra-kebolehlaksanaan ke atas projek tertentu yang telah dikenal pasti.
“Kedua-dua pihak juga secara kolaboratif akan mengendalikan tugas dan aktiviti komprehensif yang terlibat dalam projek pembangunan, pelaksanaan dan pengurusan, termasuk penstrukturan dana pembiayaan,” katanya.
Malakoff berkata, Masdar, perintis dalam tenaga bersih, telah meletakkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di barisan hadapan dalam peralihan tenaga global melalui komitmen pelaburannya kepada projek RE di lebih 40 negara.
Jelasnya, Masdar baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk projek RE 10,000MW di Malaysia membabitkan pelaburan sebanyak AS$8 bilion.
Sementara itu, Anwar Syahrin berkata, kerjasama bukti pengembangan mantap Malakoff dalam RE selaras dengan cita-cita Malaysia untuk mencapai status Net-Zero menjelang 2050.
Katanya, ia juga menekankan komitmen Malakoff yang tidak berbelah bahagi untuk membuat sumbangan bermakna ke arah menangani keperluan global yang mendesak untuk kelestarian.
“Kerjasama ini akan diutamakan terhadap pembangunan loji solar, memanfaatkan ketersediaan bank tanah yang luas untuk meneroka dan memaksimumkan rangka kerja komprehensif dan insentif kerajaan untuk memudahkan syarikat seperti kami, dalam mempercepatkan peralihan ke arah amalan tenaga lestari,” katanya. – UTUSAN










