PETALING JAYA: Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) melantik Zulkiflee Omar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 1 Disember lalu.
PAAB dalam kenyataan berkata, Zulkiflee memiliki banyak pengalaman dan beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Pemangku CEO PAAB sejak 19 Mac 2023.
“Semasa menyandang jawatan CEO, Zulkiflee akan terus mengawasi tanggungjawab COO sehingga pengganti yang sesuai dilantik.
“Kepimpinan, kebijaksanaan dan komitmen beliau terhadap kecemerlangan amat dipuji dan kami percaya beliau mempunyai semangat dan keupayaan untuk memacu PAAB ke arah kejayaan yang lebih cemerlang,” katanya.
Sebelum berkhidmat di PAAB, beliau berkhidmat sebagai Ketua Penyampaian Projek di OPUS International (M) Sdn Bhd, iaitu perunding pengurusan projek yang terkenal di bawah UEM Group.
Dengan lebih 24 tahun perkhidmatan di OPUS, Zulkiflee memperoleh kepakaran yang luas dalam menguruskan pelbagai projek kejuruteraan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Setelah memulakan perjalanan di OPUS sebagai Jurutera Perancang Kanan pada 1995, Zulkiflee memegang jawatan Ketua Penyampaian Produk pada Januari 2020.
Beliau juga menjalani tempoh perkhidmatan selama sedekad di organisasi berprofil tinggi seperti MRT Corporation dan Petronas Gas Bhd.
Zulkiflee memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Awam dari University of North Carolina, Amerika Syarikat dan mempunyai sejarah kerjaya yang cemerlang, jelasnya. – UTUSAN










