Perang Israel-Hizbullah: Malbatt di Lubnan siap siaga

Perang Israel-Hizbullah: Malbatt di Lubnan siap siaga

Anggota Malbatt 850-11 berlepas ke Lubnan pada November tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan Malaysian Battalion (Malbatt) 850-11 yang kini bertugas di Lubnan diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan ekoran pertempuran sengit membabitkan antara tentara Israel dan Hizbullah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman bagaimanapun berkata, situasi di kawasan tanggungjawab Malbatt 850-11 masih dalam keadaan terkawal.

Malah katanya, anggota yang bertugas di sana turut melaksanakan tanggungjawab seperti biasa.

“Alhamdulillah. Setakat ini, kesemua anggota Malbatt 850-11 dalam keadaan sihat. Situasi keselamatan dalam Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Malbatt juga adalah terkawal.

“Namun, mereka juga diletakkan dalam keadaan siap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan komander batalion askar Ireland dan Poland, Leftenan Kolonel Stephen MacEoin terhadap situasi perang membabitkan tentera Israel dan Hizbullah yang dikatakan semakin sengit.

Menurut komander tersebut, tentera dari pasukan pengaman PBB di Lubnan berulang kali terpaksa berlindung di kubu.

Israel dalam masa yang sama turut mengumumkan akan meneruskan operasi ketenteraan di Gaza selepas gencatan senjata tamat.
Malbatt 850-11 terdiri daripada 854 anggota dengan melibatkan 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat (LLP) menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL).
Turut serta ialah tiga pegawai serta 27 anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di samping seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan turut terlibat dalam misi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×