PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mencatatkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam yang konsisten hampir 1.1 juta jumlah pengunaan sehari setakat 30 November 2023.
Menurut Prasarana, daripada jumlah itu, perkhidmatan Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) mencatatkan purata penggunaan harian sebanyak 835,119 merangkumi perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel. Purata penggunaan perkhidmatan Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) pula adalah sebanyak 258,710.
“Angka penggunaan harian tertinggi adalah 1,200,433 yang telah dicatatkan pada 22 November 2023. Angka-angka tersebut merupakan angka tertinggi penggunaan harian perkhidmatan-perkhidmatan kendalian Prasarana yang dicatatkan semenjak negara dilanda pandemik Covid-19. Pada awal 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta orang sehari,” katanya dalam kenyataan.
Prasarana berkata, inisiatif-inisiatif berterusan yang diambil oleh pihaknya serta Rapid Rail dan Rapid Bus bagi mempertingkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhannya, termasuk dari segi ketersediaan perkhidmatan dan keadaan fasiliti serta kemudahan awam, telah menyumbang kepada peningkatan pengguna harian yang konsisten.
Bagi perkhidmatan rel, katanya, Rapid Rail sedang dalam usaha berterusan bagi menambahbaik perkhidmatan dalam memastikan perjalanan yang lancar tanpa gangguan bagi penumpang di kesemua laluan kendaliannya.
Tambahnya, semenjak September lalu, Rapid Rail telah memulakan pengoperasian empat buah tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek KLAV27 (Kuala Lumpur Additional Vehicle).
“Baki 15 buah tren akan diterima secara berperingkat sehingga bulan Disember 2024. Pada ketika ini, LRT Laluan Kelana Jaya secara purata beroperasi dengan 48 buah tren dengan kekerapan purata 3 minit,” jelasnya.
Penggunaan MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Kajang juga katanya, menunjukkan angka yang memberangsangkan dengan purata penggunaan MRT Laluan Putrajaya yang dilancarkan sepenuhnya pada Mac 2023, adalah sebanyak 127,872 pada November, berbanding 122,720 bulan sebelumnya.
“MRT Laluan Kajang pula mencatatkan purata penggunaan harian seramai 225,705 pada November, satu peningkatan daripada purata penggunaan harian sebanyak 219,576 pada bulan sebelumnya. Angka ini dijangka akan bertambah menjelang Januari 2024 apabila bilangan tren ditambah kepada 36 buah dengan kekerapan 4 minit,” katanya.
Prasara memberitahu, Rapid Bus juga akan menambah bilangan bas di sekitar Lembah Klang bagi memenuhi permintaan yang meningkat serta demi menyelaraskan pengoperasian bas agar lebih efisien.
“Dijangka sebanyak 1,000 buah bas akan beroperasi setiap hari menjelang hujung tahun ini, peningkatan daripada 762 buah pada awal tahun ini,” jelasnya.
Mengenai fasiliti dan kemudahan awam di stesen-stesen termasuk lof dan eskalator, Syarikat itu berkata, pada ketika ini 99 peratus kemudahan beroperasi secara normal, namun, pembaikan adalah usaha berterusan di bawah program penyelenggaraan berasaskan keadaan (condition-based maintenance).
Jelasnya, Prasarana komited dalam menambahbaik kesemua perkhidmatan rel dan bas serta fasiliti kemudahan awam di bawah kendaliannya secara berterusan bagi kemudahan dan keselesaan pengguna serta menggalak penggunaan pengangkutan awam, selari dengan agenda pengangkutan awam yang mensasarkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2030.
“Prasarana mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan dan akan terus berusaha untuk memastikan faktor keselamatan, kelancaran dan kestabilan perkhidmatan serta fasiliti yang memuaskan sentiasa dipelihara untuk manfaat orang ramai,” katanya. – UTUSAN










