Rumah mampu milik: Cagamas, BSN tawar pembiayaan

Rumah mampu milik: Cagamas, BSN tawar pembiayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cagamas Berhad, Perbadanan Cagaran Malaysia dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bekerjasama dalam urus niaga rumah mampu milik bernilai RM500 juta.

Urus niaga itu dibiayai menerusi penerbitan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Sosial ASEAN (Sukuk SRI) pelbagai tempoh Cagamas, terdiri daripada Sukuk SRI 1-tahun bernilai RM150 juta, Sukuk SRI 2-tahun bernilai RM100 juta dan Sukuk SRI 3-tahun bernilai RM250 juta.

Sukuk terbabit diterbitkan di bawah Program RM60 bilion Cagamas bagi Nota Jangka Sederhana Konvensional dan Nota Jangka Sederhana Islam (Program CMTN/IMTN).

Menurut kenyataan bersama Cagamas dan BSN, Komitmen BSN sebanyak RM500 juta akan digunakan secara strategik bagi menyokong inisiatif perumahan mampu milik, terutamanya daripada aspek pembiayaan.

“Peruntukan strategik ini sejajar dengan visi BSN untuk memupuk perubahan dan sumbangan sosial yang positif, serta dedikasinya terhadap inisiatif kemampanan,” katanya.

JAY KHAIRIL

Sementara itu, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, BSN sedar akan peranan penting yang dimainkan oleh institusi kewangan dalam menangani cabaran yang dihadapi masyarakat, terutamanya untuk memiliki rumah.

Beliau berkata, komitmen BSN terhadap pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab membuktikan dedikasi dan sokongan kami terhadap pembangunan perumahan mampu milik.

“Kami percaya bahawa inisiatif ini akan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan untuk semua,” katanya.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Kameel Abdul Halim pula berkata, kerjasama dengan BSN membuktikan komitmen Cagamas bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri.

Katanya, akses kepada perumahan mampu milik adalah komponen penting dalam Matlamat Kemampanan Cagamas, dan Kumpulan sangat berbangga untuk bekerjasama dengan BSN bagi mencapai matlamat ini.

“Cagamas kekal komited untuk menyokong industri kewangan dalam agenda kemampanan mereka dengan menggerakkan pembiayaan pasaran modal untuk inisiatif berkaitan kemampanan,” tambah beliau.

Urus niaga pembiayaan rumah mampu milik ini melibatkan kemudahan pembiayaan perumahan yang disediakan oleh BSN di bawah Skim Perumahan Belia (SPB) dan Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang telah memenuhi kriteria kelayakan Cagamas untuk rumah mampu milik.

Sukuk SRI Cagamas, yang diberi penarafan Faedah Sosial Tahap 1 oleh RAM Sustainability Sdn. Bhd., menarik pelbagai pelabur termasuk pelabur institusi, bank dan badan berkanun, serta membolehkan Cagamas menetapkan harga penerbitannya secara kompetitif melebihi Sekuriti Kerajaan Malaysia yang sepadan.

“Penerbitan ini mencerminkan kedayatahanan terbitan kami walaupun adanya kebimbangan berterusan yang berpunca daripada ketidakpastian pasaran global dan ekonomi,” jelas Kameel.

Sehingga kini, Cagamas secara kumulatif telah menerbitkan bon dan sukuk yang berkaitan kemampanan sejumlah RM3.4 bilion di bawah Program CMTN/IMTN.

Cagamas, Perbadanan Cagaran Malaysia, telah ditubuhkan pada 1986 untuk menggalakkan tebaran pemilikan rumah yang lebih luas dan pertumbuhan pasaran gadai janji sekunder di Malaysia.

Ia menerbitkan bon dan sukuk untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan daripada institusi kewangan dan bukan institusi kewangan. Penyediaan mudah tunai kepada institusi kewangan pada kos berpatutan kepada peminjam utama pembiayaan perumahan menggalakkan pengembangan pembiayaan untuk rumah pada kos yang berpatutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×