PETALING JAYA: Median upah bulanan pekerja formal warganegara meningkat sebanyak 4.9 peratus pada Jun 2023 kepada RM2,600 berbanding Jun 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah pekerja formal Malaysia pada Jun 2023 adalah sebanyak 6.60 juta orang meningkat 1.6 peratus daripada bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Katanya, bilangan itu menyumbang hampir dua pertiga (64.3 peratus) daripada jumlah keseluruhan bilangan pekerja bergaji warganegara yang bekerja dalam sektor formal.
“Pada masa yang sama, median upah bulanan pada Jun 2023 meningkat sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun kepada RM2,600,” katanya dalam kenyataan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal), suku tahun kedua 2023.
Melihat kepada perbandingan mengikut jantina, beliau berkata, pekerja formal lelaki menyumbang 55.5 peratus (3.66 juta orang) daripada jumlah pekerja formal keseluruhan pada Jun 2023, menerima median upah bulanan yang lebih tinggi daripada perempuan.
Menurutnya, median upah bulanan bagi pekerja formal lelaki adalah RM2,645 manakala pekerja formal perempuan yang menyumbang 44.5 peratus (2.94 juta orang) daripada jumlah pekerja formal keseluruhan memperoleh median upah bulanan sebanyak RM2,527.
“Melihat kepada perincian statistik upah mengikut kumpulan umur menunjukkan bahawa kumpulan umur yang mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada Jun 2023 adalah 45 hingga 49 tahun yang menerima RM3,500.
“Kumpulan umur ini juga menerima median upah bulanan tertinggi pada April 2023 (RM3,582) dan Mei 2023 (RM3,482),” ujarnya.
Perbandingan median upah bulanan pada Jun 2023 dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya, semua kumpulan umur mengalami peningkatan median upah bulanan kecuali bagi mereka yang berumur di bawah 20 tahun.
Jelasnya, kumpulan umur 60 hingga 64 tahun menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi pada Jun 2023 meningkat sebanyak 11.7 peratus kepada RM2,764.
Terdahulu, pada April 2023, kumpulan umur di bawah 20 tahun menikmati pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi (25.0 peratus), tertinggi untuk empat bulan berturut-turut sejak Januari 2023.
“Walau bagaimanapun, median upah bulanan bagi kumpulan umur di bawah 20 tahun perlahan pada Mei 2023 (pertumbuhan tahun ke tahun: 5.5 peratus) dan kekal tidak berubah pada Jun 2023 (pertumbuhan tahun ke tahun: 0.0 peratus) disebabkan oleh kesan pelaksanaan dasar gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 pada 2022 yang telah mereda,” ujarnya.
Mengulas situasi upah merentasi aktiviti ekonomi dalam suku tahun kedua 2023, Mohd. Uzir berkata, sektor perlombongan dan pengkuarian terutamanya mencatatkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun dalam median upah bulanan kepada RM5,200, walaupun hanya mewakili 0.5 peratus daripada jumlah pekerja formal keseluruhan.
Jelasnya, semua sektor mencatatkan peningkatan tahun ke tahun bagi median upah bulanan pada Jun 2023 kecuali bagi sektor pertanian mencatatkan penurunan sebanyak 0.9 peratus kepada RM1,927.
Memperincikan situasi upah mengikut negeri pada Jun 2023, Mohd. Uzir berkata, semua negeri menunjukkan pertumbuhan positif tahun ke tahun dari segi median upah bulanan.
“Tiga negeri merekodkan median upah bulanan yang lebih tinggi berbanding median upah nasional RM2,600 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak RM3,822, diikuti Selangor (RM2,945) dan Pulau Pinang (RM2,645).
“Walau bagaimanapun, Kelantan, Perlis dan Sabah mencatatkan median upah bulanan terendah masing-masing sebanyak RM1,600, RM1,600 dan RM1,800,” ujarnya.
Dari segi taburan upah pada Jun 2023, beliau berkata, taburan upah menunjukkan bahawa 34.7 peratus pekerja formal di Malaysia menerima upah di bawah RM2,000, mencatatkan penurunan sebanyak 3.6 mata peratus dari 38.3 peratus yang direkodkan pada Jun 2022.
Pada masa yang sama, kira-kira 7.9 peratus pekerja formal warganegara memperoleh upah melebihi RM10,000. – UTUSAN










