SUBANG JAYA: CelcomDigi memperkenalkan pelan baharu pascabayar 5G untuk pelanggannya yang akan tersedia bermula 1 Disember 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, pelan baharu ini menekankan komitmen CelcomDigi sebagai jenama dan rangkaian yang boleh dipercayai di Malaysia.
“CelcomDigi menyediakan sambungan 4G yang stabil dan kini memperkenalkan kuasa 5G untuk keperluan kesalinghubungan,” katanya pada Taklimat Media Pelancaran Produk CelcomDigi Pascabayar 5G, disini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna Celcom, Praveen Rajan berkata, pelanggan akan mempunyai pilihan untuk memilih mana-mana daripada enam pelan CelcomDigi Postpaid 5G yang disertakan dengan kuota Internet dan kelajuan 5G.
“Pelanggan yang melanggan Postpaid 5G 120 dan ke atas akan menikmati Internet 5G dan 4G tanpa had dan panggilan tanpa had serta menikmati rebat tambahan RM10 atas komitmen bulanan dengan mana-mana kontrak.
Tambah Praveen Rajan, semua pakej pelan 5G ini akan memberi pelanggan akses kepada Internet 5G dan 4G pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
“Para pelanggan boleh mendapati semua tawaran pakej ini di lawan sesawang CelcomDigi bermula 1 Disember 2023,” katanya.
Dalam pada itu, bercakap kepada media, Idham Nawawi berkata, CelcomDigi berada di landasan yang tepat bagi mencapai 30 peratus proses integrasi rangkaiannya.
“Sekarang ini, sudah lebih 4,400 tapak telah dilaksanakan sehingga Oktober 2023 dan dalam perancangan untuk membawa sasaran integrasi tahun hadapan ke dalam tahun ini,” katanya
Beliau menambah, integrasi rangkaian sebanyak 30 peratus dilakukan tahun ini, 40 peratus tahun hadapan dan baki 30 peratus lagi pada tahun seterusnya.
“Projek ini melibatkan 18,000 tapak,” katanya. – UTUSAN










