Terengganu umum bantuan banjir selepas sumber kewangan cukup

Terengganu umum bantuan banjir selepas sumber kewangan cukup

PEMANDANGAN dari udara keadaan banjir yang berlaku di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu, baru-baru ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Kerajaan negeri belum mengumumkan bantuan wang tunai kepada mangsa banjir di Terengganu pada tahun ini kerana perlu meneliti status kewangan semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, bantuan hanya diumumkan selepas kerajaan negeri mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk diagihkan.

Katanya pendekatan itu adalah jalan selamat agar tidak memberi harapan kepada mangsa banjir sepertimana yang berlaku pada tahun lepas.

“Kita maklum bahawa bantuan wang tunai yang diberikan kepada 17,000 ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada tahun lepas agak lewat kerana masalah ini.

“Malah, ketika ini pun kerajaan negeri belum membayar bantuan wang tunai RM1,000 kepada kira-kira 17,000 KIR yang rumahnya terkepung akibat banjir dan golongan yang terjejas banjir namun tidak berpindah ke PPS.

“Insya-Allah jika kerajaan negeri memperoleh bayaran dana daripada kerajaan persekutuan, bayaran tertangguh ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Tahun lalu, kira-kira 34,000 KIR terjejas banjir di Terengganu dan daripada jumlah itu, seramai 17,000 KIR berdaftar di PPS manakala baki 17,000 yang rumahnya terjejas banjir tidak berpindah ke PPS.

Susulan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan bantuan wang tunai RM1,000 kepada KIR terlibat manakala keluarga mangsa korban banjir menerima RM10,000.

Dalam pada itu, Hanafiah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, persediaan banjir untuk gelombang seterusnya telah dilakukan termasuk menghantar bekalan barangan keperluan kepada penduduk di kawasan yang berisiko terputus hubungan luar seperti di Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

“Setakat ini semua persediaan telah dilakukan dan kita berdoa bencana kali ini tidak begitu teruk seperti yang pernah melanda Besut dan Hulu Terengganu beberapa tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×