PETALING JAYA: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melaporkan pendapatan kukuh berjumlah RM925.4 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 (S3 TK2023), dengan pertumbuhan sebanyak 16.0 peratus berbanding RM798.7 juta yang dicatatkan pada suku ketiga Tahun Kewangan 2022 (S3 TK2022).
Kumpulan turut merekodkan peningkatan dalam keuntungan selepas cukai (PAT) dan keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM97.3 juta dan RM133.1 juta, kenaikan ketara sebanyak 71.0 peratus dan 50.0 peratus daripada suku yang sama tahun lepas.
Kumpulan turut mencatatkan margin Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) yang memberangsangkan sebanyak 29.0 peratus, meningkat kepada RM254.8 juta daripada RM198.1 juta pada S3 TK2022.
“Sebahagian besar faktor yang menyumbang kepada lonjakan prestasi yang dicatatkan ini adalah disebabkan oleh peningkatan ketara angka kemasukan pesakit ke hospital, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 96,968 pada S3 TK2023, meningkat daripada 85,655 pada S3 TK2022.
“Kadar Penggunaan Katil (BOR) juga menunjukkan peningkatan tinggi, daripada 66.0 peratus kepada 73.0 peratus yang sekaligus mendorong kepada pencapaian kewangan Kumpulan yang teguh,” katanya dalam kenyataan.
Susulan pencapaian cemerlang yang diraih, KPJ Healthcare mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.05 sen sesaham berserta dividen khas sebanyak 0.25 sen sesaham dengan jumlah pembayaran agregat sebanyak RM56.7 juta, untuk diagihkan kepada pemegang saham KPJ Healthcare pada 28 Disember 2023.
Pengisytiharan dividen khas itu timbul daripada penyempurnaan pelupusan semua entiti di rantau Indonesia, sebahagian daripada pelan strategik untuk memberi tumpuan yang lebih kepada segmen teras Kumpulan di Malaysia.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, prestasi pecah rekod yang dilakar untuk suku dilaporkan membuktikan ketangkasan strategik Kumpulan yang didorong oleh hasil kerja keras pasukan.
“Pencapaian ini baru permulaan. Perancangan hala tuju yang sudah dirangka bagi tahun 2024 akan memfokuskan usaha kepada mendalam kecekapan operasi, memperkasa transformasi digital dan mengukuhkan kedudukan kami dalam segmen pelancongan kesihatan,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan pelupusan operasi hospital di pasaran Indonesia merupakan langkah strategik, yang mana ia membolehkan kami memberi tumpuan kepada perniagaan utama dalam pasaran domestik.
Menurutnya, keputusan itu sejajar dengan fokus strategi kewangan Kumpulan untuk menembusi pasaran Malaysia yang dilihat memiliki potensi besar untuk memacu pertumbuhan mampan dan inovasi.
Dengan menyelaras semula portfolio yang lebih bersepadu, katanya, Kumpulan berupaya menyalurkan sumber dan pelaburan secara lebih berkesan.
“Pendekatan ini adalah kunci untuk memastikan KPJ Healthcare bukan sahaja mampu mengekalkan momentum malah dapat mengoptimumkan kecemerlangan prestasinya daripada segi kewangan dan penjagaan kesihatan.
“Penyelarasan operasi yang strategik adalah asas penting untuk merencana usaha berterusan kami bagi memupuk inovasi dalam penjagaan kesihatan yang unggul sekaligus meningkatkan nilai yang diberikan kepada kesemua pemegang saham dan pesakit kami,” katanya. – UTUSAN










