KUALA LUMPUR: Peneraju perkhidmatan video OTT serantau, Viu kini mengalami pertumbuhan positif dengan mempunyai 65.5 juta pengguna aktif bulanan sehingga Jun 2023 di Asia.
Ia melibatkan 16 buah negara di Asia, Asia Barat dan Afrika Selatan.
Peneraju Negara Viu Malaysia, Kingsley Warner berkata, melalui itu Viu terus mengekalkan kedudukan terutamanya bagi jumlah langganan berbayar bagi suku ketiga 2023.
“Pencapaian ini menunjukkan bahawa kandungan Viu bukan sahaja mampu namun, mewujudkan jumlah peminat lebih ramai peminat yang menyokong perkembangan industri seni di negara ini.
“Ia juga bagi menjalin hubungan yang lebih kukuh dengan penonton tempatan demi memacu pertumbuhan platformnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Viu Upfront 2023 di sini hari ini.
Pada Julai 2023, PCCW dan CANAL+ membentuk perkongsian strategik untuk mempercepatkan pertumbuhan Viu menjadikan CANAL+ pemegang saham minoriti dalam Viu.
Perkhidmatan Viu tersedia secara percuma dengan sokongan iklan dan juga langganan premium terdiri daripada beberapa pilihan langganan.
Viu Malaysia menawarkan harga serendah RM12.90 untuk langganan bulanan kepada penonton di negara ini.
Kingsley berkata, bagi meningkatkan penyampaian kandungan kepada rakyat di negara ini, pihak Viu Malaysia turut menjalinkan hubungan strategik dengan Astro dan Unifi sekaligus dapat memastikan filem atau drama tempatan mahupun luar negara boleh ditonton segenap lapisan masyarakat.
“Ia membolehkan kandungan di Viu Malaysia ini dapat menarik penonton tempatan dan meningkatkan jumlah penonton di negara ini,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Viu Malaysia telah memperkenalkan seleksi Viu Original terbaharu dari Malaysia yang akan ditayangkan pada 2024.
Katanya, majlis ini amat dinantikan bertujuan mengumpulkan pihak berkepentingan dalam industri hiburan dan rakan kerjasama.
“Viu Upfront 2024 mengetengahkan senarai produksi tempatan yang menarik untuk tahun depan.
“Kami telah menghasilkan 24 Viu original di Malaysia setakat ini dan enam lagi Viu original yang bakal menemui penonton dan dibintangi pelakon berbakat dalam industri hiburan tanah air,” katanya. – UTUSAN










