PETALING JAYA: UEM Edgenta melaporkan pertumbuhan untung bersih yang teguh sebanyak 16.2 peatus kepada RM28.6 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2023.
Dalam mengumumkan keputusan kewangan yang belum diaudit sepanjang tempoh sembilan bulan, UEM Edgenta melaporkan pertumbuhan hasil sebanyak 14.2 kepada RM2.07 bilion (RM1.81 bilion 9BTK2022) melalui penyelesaian dipacu teknologi yang dipertingkatkan, dan penyampaian perkhidmatan berkualiti tinggi, menghasilkan pengekalan pelanggan yang kukuh.
“Buku pesanan semasa Syarikat kini berjumlah RM9.2 bilion, di mana 67 peratus disumbangkan oleh perkhidmatan infrastuktur,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 (Q3TK2023), keuntungan bersih Syarikat meningkat sebanyak 18.9 peratus kepada RM5.2 juta daripada RM4.4 juta pada tempoh sama 2022.
Hasil pula meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada RM721.1 juta dipacu oleh pelaksanaan efektif dalam kontrak semasa oleh kedua-dua Healthcare Support di Singapura dan Taiwan, dan di Property and Facility Solutions (PFS) serta peningkatan kerja turapan yang dilakukan untuk lebuh raya oleh perkhidmatan infrastruktur.
“Pada akhir 30 September 2023, penyata imbangan Syarikat menunjukkan aset bersih bernilai RM1.94 sesaham, tunai dan baki bank sebanyak RM650.3 juta dan nisbah gearan (gearing ratio) sebanyak 0.31 kali,” jelasnya.
UEM Edgenta memberitahu, dalam sembilan bulan pertama TK2023, Syarikat memperoleh kontrak baharu berjumlah RM1.6 bilion, sekaligus mencapai sasaran tahun penuh TK2023 Syarikat dalam tempoh sembilan bulan.
Jelasnya, Syarikat sedang mengekalkan pembaharuan kontrak yang kukuh dan juga mendapat kontrak baharu dalam pasaran sedia ada iaitu Malaysia, Singapura, Taiwan, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.
“Pengintegrasian dengan anak syarikat baharu di Kerajaan Arab Saudi (KSA), MEEM For Facilities Management Company, berada di landasan yang baik bagi Edgenta mengejar peluang pertumbuhan di KSA,” jelasnya.
Mengulas keputusan kewangan itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, dengan teknologi mengolah setiap aspek perniagaan, Syarikat terus memperuntukkan sumber dan melabur untuk pertumbuhan dalam bidang yang membolehkan Syarikat membezakan diri dengan teguh dalam mengoptimumkan model penyampaian dan meningkatkan
kecekapan operasi untuk pelanggan.
“Dalam usaha untuk bergerak ke depan, kami kekal tangkas dan responsif, memanfaatkan keupayaan digital sesuai dengan dinamik pasaran yang berkembang dan secara konsisten menyampaikan nilai kepada pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN










