Pas ramai calon PM termasuk Sanusi – Hashim - Utusan Malaysia

Pas ramai calon PM termasuk Sanusi – Hashim

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pas sebuah parti dominan dan mempunyai kekuatan utuh sekali gus wajar diberi ruang mengenengahkan calon Perdana Menteri daripada parti itu sekiranya gabungan Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ia juga bakal menjadi sejarah baharu apabila buat pertama kalinya Perdana Menteri datang daripada Pas yang sudah berpuluh tahun bertapak dalam arena politik negara.

Kekuatan Pas dalam PN yang mencetuskan gelombang hijau dalam PRU15 tidak boleh dinafikan lagi apabila mempunyai seramai 43 ahli parlimen di Dewan Rakyat berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 31 wakil rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebelum ini, Pas juga menunjukkan kecemerlangan apabila memenangi 105 daripada 126 kerusi yang ditandingi iaitu mencapai tahap kemenangan 83 peratus, manakala Bersatu hanya menang 40 kerusi dan kalah 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pas mempunyai kekuatan akar umbi dan sokongan orang Melayu yang cukup kuat khususnya dalam kalangan anak muda sekali gus bakal mendapat sokongan kukuh jika calon daripada Pas diberi peluang sebagai Perdana Menteri.

Diminta mengulas mengenai situasi itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas sebenarnya mempunyai ramai calon boleh diketengahkan sebagai Perdana Menteri seperti

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Katanya, Pas juga mempunyai pemimpin muda yang berpotensi besar diketengahkan seper­ti Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Bagaimanapun, katanya, men­jadi Perdana Menteri bukan menjadi keutamaan Pas sebaliknya apa yang lebih penting mereka yang boleh melaksanakan hukum Allah SWT.

PERKEMBANGAN

“Memang diakui sepatutnya Pas ‘lead’ melihat kepada perkembangan semasa namun Pas tidak pernah memandang soal itu. Matlamat kita bukan menjadi Perdana Menteri tetapi hendak laksana hukum Allah SWT.

“Pas tidak pernah minta menjadi Perdana Menteri sama juga seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri sebelum ini. Apa yang penting masa menentukan siapa yang difikirkan layak pada masa itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam PRU15, Pas menamakan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Mengulas kenyataan Muhyid­din mengenai soko­ngan rakyat terhadap Pas dikatakan sudah ‘tepu’, Hashim berkata, Pre­siden Bersatu itu tidak sepatutnya membangkitkan perkara seperti itu.

Katanya, Pas tidak pernah membangkitkan perkara tersebut meskipun memenangi banyak kerusi di dalam pilihan raya.

“Dalam masa sekarang, soal seperti itu tidak perlu bangkit, kita lawan sapa. Saya raya kenyataan seperti itu mungkin selepas melihat wakil rakyat Bersatu ada lari sokongan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×