KLANG: UMW Lubetech Sdn. Bhd. (UMW Lubetech) menyasarkan peningkatan perolehan lebih RM300 juta dalam pasaran pengeluaran bendalir dan minyak pelincir menerusi pembukaan kilang baharunya di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di sini.
Kilang baharu berkeluasan kira-kira 1.3 hektar yang beroperasi sejak April lalu itu mempunyai kemampuan kapasiti pengeluaran produk hampir dua kali ganda iaitu 60 juta liter setahun berbanding 35 liter di Shah Alam sebelum ini.
Pengurus Besar UMW Lubetech, Iskandar Mohamed Salleh berkata, ketika ini penghasilan produk adalah pada tahap sekitar 40 peratus berbanding kapasiti dan meningkatkan pengeluarannya bagi memenuhi pasaran dalam dan luar negara pada tahun hadapan.
“Kilang dilengkapi dengan teknologi revolusi industri (IR) 4.0 untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran. Maknanya ada penyusunan simpanan automatik, inovasi dalam pemprosesan. Dengan 14 barisan pengeluaran yang kita ada dapat meningkatkan lebih banyak produk.
“Selain itu, kita hendak pelbagaikan lagi produk itu sendiri, tak mahu fokus kepada enjin semasa sahaja tetapi memenuhi permintaan kepada pengeluaran enjin pada masa akan datang daripada pelanggan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Kilang Baharu UMW Lubetech dan pelancaran label baharu minyak Grantt,” hari ini.
Tambahnya, dalam meningkatkan pengeluaran, UMW Lubetech juga merancang untuk memenuhi permintaan terhadap pengeluaran enjin pada masa hadapan menerusi penghasilan produk pengilang original (OEM) yang akan dikembangkan di peringkat Asia Tenggara dan China.
Dalam pada itu, UMW Lubetech juga menyasarkan peningkatan nilai eksport sehingga dua kali ganda pada tahun hadapan berbanding sekarang yang berada pada tahap lima peratus.
Pengarah Kumpulan Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW, Anas Nasrun Mohd. Osman menjelaskan, ketika ini syarikatnya sudah pun memulakan perancangan pengedaran produk dan mempunyai blueprint di negara-negara serantau.
“Ini berdasarkan establishment oleh UMW sendiri, tetapi kita akan full force untuk teroka lebih luas pasaran ASEAN serta China, paling kurang kita hendak tingkatkan dua kali ganda daripada apa yang kita sudah buat sekarang.
“Semua itu kita mulakan pada tahun hadapan dan ia akan bermula dengan penerokaan di Vietnam, Indonesia, Thailand dan Filipina. Tempat-tempat itu baharu untuk kita tetapi touch based selama ini cuma kecil, jadi kita hendak kembangkan lagi tahun depan,” ujarnya. – UTUSAN










