PASIR MAS: Pertubuhan Seni Silat Jawi Kelantan mendaftarkan Kain Tenun Punca Potong di bawah Petunjuk Geografi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sekali gus mengiktiraf produk tersebut berasal dari negeri ini.
Pengerusinya, Ahmad Basri Hashim berkata, keputusan dibuat selepas menjalankan kajian lima tahun berkaitan kain tersebut menerusi rujukan akademik warisan tekstil negara, buku dan artikel yang mengesahkan ia berasal dari Kelantan.
“Sejak 1908 orang Kelantan memakai kain tenun punca potong namun ia makin pupus.
“Dalam kajian itu saya mengumpul beberapa helai kain tenun punca potong asli dan ada sudah berusia 200 tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Karnival Hulubaley Bersenu Tanah Jawi 2023 di Gelanggang Jawi, Kampung Limbat di sini semalam.
Ahmad Basri yang juga pelajar ijazah sarjana Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, kain tenun punca potong ini mempunyai keistimewaannya kerana ia menjadi lambang ketinggian kemahiran seni halus penenun tempatan dalam teknik tenunan.
Katanya, ia menggabungkan teknik tenun ikat limar pada badan sehelai kain bercorak petak beragi dan berjalur.
“Kain tenun punca potong Kelantan bersaiz 152cm ke 300 cm dan lebar 42cm ke 106 cm yang tidak dijahit sambung antara hujung kain. Setakat ini sebanyak 300 helai sudah ditenun tetapi bukan untuk dijual.
“Bagaimanapun, kain tersebut hanya diagihkan kepada pesilat-pesilat Pertubuhan Seni Silat Jawi Kelantan. Saya mahu sebarkan warisan ini agar ia dikenali ramai, tahu cara pakainya, kenal kain ini kerana kepala kainnya berada dihujung dan ianya dipakai oleh hulubalang, pembesar,” ujarnya. – UTUSAN










