Kelebihan infografik untuk pemasaran digital - Utusan Malaysia

Kelebihan infografik untuk pemasaran digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pemasaran merupakan elemen penting bagi setiap perniagaan untuk terus berdaya maju. Dengan kemunculan era digital yang semakin pesat memba­ngun, kepentingan pemasaran sebenarnya bukan sekadar terletak kepada kemahiran teknikal dalam mengendali platform digital semata-mata, tetapi juga dalam mencipta dan mengurus kreativiti agar maklumat dapat disampaikan dengan lebih efektif kepada prospek pasaran.

Salah satu teknik pemasaran digital yang semakin dimanfaatkan adalah infografik. Ia merupakan elemen pemasaran kan­dungan yang dipaparkan dalam format visual dan reka grafik bagi me­nyampaikan maklumat secara santai dan ringkas, tetapi berkesan.

Infografik bukanlah perkara baharu dalam dunia pemasaran. Ia telah pun dipraktikkan melalui pelbagai risalah percetakan sebelum diintegrasi dalam kepenti­ngan digital. Sehingga kini, ia masih terbukti mampu menarik perhatian audiens terhadap sesuatu maklumat, sebaran promosi dan kempen pemasaran yang dilaksanakan oleh kebanyakkan organisasi dan sektor perniagaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdapat beberapa kelebihan infografik. Ia boleh disiarkan melalui pelbagai platform digital dan media sosial secara fleksibel bagi meraih perhatian ramai. Memanfaatkan penggunaan infografik secara kreatif dapat menyokong dalam menjayakan pelbagai aspirasi pemasaran digital.

Mudah disampaikan, difahami
Infografik mampu menyampaikan maksud keseluruhan informasi secara lebih ringkas yang digambarkan secara visual. Ia boleh dibangunkan melalui berbagai elemen dan bentuk melalui aplikasi seperti Shapes, Chart, SmartArt, Font, Icon, atau Clip Art. Informasi yang rumit menjadi lebih menarik untuk mudah difahami melalui pembentangan secara visual serta reka grafik yang kreatif.
Paparan infografik biasanya memiliki struktur kandungan seperti judul, pengantar singkat, gambar, intipati data, ke­simpulan dan sumber rujukan data yang dibentangkan. Melalui kandungan tersebut dapat membantu setiap audiens memahami intipati informasi yang disampaikan secara terus.
Kombinasi angka, gambar, grafik, video, serta warna-warna menarik lainnya secara psikologi juga membantu setiap prospek merakam data tersebut dalam memori ingatan. Jika dibandingkan dengan maklumat yang ha­nya menggunakan teks, paparan infografik diakui mudah di­ingat. Bahkan beberapa penelitian menjelaskan bahawa manusia lebih mudah mengingat gambar berbanding membaca teks.

Meningkatkan impak pemasaran
Teknik infografik mampu memberikan tampilan maklumat yang lebih profesional dan berkredibiliti dalam menyokong impak pemasaran digital. Berbekalkan sumber rujukan yang sahih dan diolah secara kreatif juga secara tidak langsung menyokong dalam menyuntik kepercayaan dan ketertarikan pelanggan serta prospek pasaran terhadap produk atau perkhidmaan yang diper­kenalkan. Tanpa perlu penulisan yang panjang lebar, pemasaran secara digital mudah disebarkan dengan lebih efektif.

Pengaruhi tindakan audiens
Tampilan visual infografik dengan elemen rekabentuk mampu menarik pengaruh audiens daripada sekadar membaca kepada tindakan untuk terlibat dalam sesebuah promosi atau kempen pemasaran sebagai pelanggan. Hanya de­ngan satu atau beberapa paparan mampu menterjemahkan pelbagai maklumat ilmiah yang mudah difahami serta menarik minat audiens dalam membina engagement yang baik.

Mudah disebar, ditularkan
Infografik mudah dijadikan rujukan untuk menyokong pelbagai tujuan yang relevan oleh warga digital yang lain. Apabila ia semakin banyak dirujuk atau dikongsikan, maka infografik tersebut boleh berpeluang menjadi tular. Tambahan lagi jika infografik tersebut terkait dengan informasi yang sedang hangat atau baru diketahui masyarakat amnya.

Justeru itu, memanfaatkan kelebihan infografik dalam perkongsian digital dan media sosial dapat membantu menarik lebih ramai audiens disam­ping membina kredibiliti pasaran terhadap produk, perkhidmatan dan perniagaan. Kemajuan dunia digital menjadikan maklumat semakin pantas dan meluas. Infografik adalah satu daripada kaedah ringkas dalam menyampaikan maklumat dengan berkesan dan menepati tuntutan trend pasaran digital pada masa kini.

Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini