PETALING JAYA: Jumlah aset Maybank meningkat daripada RM945 bilion pada Disember 2022 kepada RM1.0 trilion pada September 2023 dan buat kali pertama ia melebihi paras RM1 trilion.
Peningkatan jumlah aset itu didorong oleh peningkatan sebanyak 21 peratus keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Maybank bagi sembilan bulan (9B TK23) berakhir 30 September 2023, berjumlah RM6.96 bilion, daripada tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh berkenaan, Maybank, bank keempat terbesar di Asia Tenggara berdasarkan aset, turut mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 14.4 peratus tahun ke tahun (T-ke-T) kepada RM9.58 bilion.
Menurut Maybank, keputusan yang lebih tinggi itu disumbangkan oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan penambahbaikan ketara dalam peruntukan rosot nilai bersih.
“Pendapatan operasi bersih bagi sembilan bulan meningkat 3.6 peratus T-ke-T kepada RM20.38 bilion didorong oleh pendapatan bukan faedah (NOII) yang lebih tinggi sebanyak 37.8 peatus kepada RM5.95 bilion berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Maybank mencatatkan pendapatan berasaskan dana bersih lebih rendah sebanyak 6.0 peratus di mana margin faedah bersih (NIM) berkurangan 25 mata asas disebabkan kos pendanaan yang lebih tinggi diterajui oleh kenaikan kadar faedah pada tahun lalu dan persaingan deposit yang berterusan.
Menurutnya, kos overhed meningkat kepada RM9.77 bilion daripada RM8.83 bilion setahun sebelumnya disebabkan kos kakitangan yang lebih tinggi, fi berkaitan kad kredit disebabkan oleh pengebilan yang lebih tinggi, susut nilai aset ROU (Hak Penggunaan) dan kos berkaitan IT.
“Ini mengakibatkan penurunan sedikit dalam keuntungan operasi praperuntukan (PPOP) Kumpulan sebanyak 2.1 peratus T-ke-T kepada RM10.61 bilion,” jelasnya.
Bagi suku ketiga 2023, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti Maybank meningkat 12.3 peratus T-ke-T kepada RM2.36 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas, manakala PBT bagi suku itu meningkat 1.8 peratus kepada RM3.16 bilion.
Tambahnya, pendapatan operasi bersih merosot sebanyak 5.2 peratus T-ke-T kepada RM6.75 bilion ekoran penurunan dalam pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM4.81 bilion berbanding RM5.29 bilion setahun sebelumnya di mana NIM menurun disebabkan persaingan pendanaan yang berterusan. NOII bagaimanapun meningkat 6.1 peratus T-ke-T pada RM1.94 bilion manakala kerugian rosot nilai bersih bertambah baik dengan penurunan 59.3 peratus kepada RM342.2 juta.
“Keuntungan bersih bagi suku ketiga meningkat sedikit sebanyak 0.8 peratus berbanding suku sebelumnya (S2 TK23) RM2.34 bilion di mana peruntukan rosot nilai bersih menurun sebanyak 40.4 peratus berikutan hapus kira bersih dalam pelaburan kewangan dan peruntukan kerugian pinjaman yang lebih rendah sebanyak 21.6 peratus. Sementara itu, PBT bagi suku tersebut turun 6.3 peratus kepada RM3.16 bilion berbanding S2 TK23,” jelas Maybank.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, cabaran global masih kekal tetapi Maybank akan terus mengejar peluang untuk pertumbuhan berpandukan strategi korporatnya merentas semua pelanggan dan segmen perniagaan dalam operasi ASEAN, mengekalkan kedudukan mudah tunai, memperbaiki kualiti asset dan mengekalkan tahap modal yang kukuh.
Kumpulan juga katanya, akan terus membawa impak positif kepada komuniti di mana Kumpulan berkhidmat, selaras dengan tujuan ‘Menginsankan Perkhidmatan Kewangan.’
“Di waktu kami memperdalam pelaksanaan strategi M25+ kami, ditambah pula dengan cara kerja yang tangkas, kami telah mengorak langkah yang menggalakkan dalam membentuk Maybank untuk berpandangan ke hadapan, inovatif dan mementingkan pelanggan semasa kami mengharungi landskap operasi yang sentiasa berubah.
“Memberi faedah kepada pelanggan dan meningkatkan pengalaman pelanggan melalui produk dan penyelesaian yang berkaitan serta penambahbaikan proses yang memudahkan pembukaan akaun dan permohonan pinjaman telah menghasilkan penggunaan perkhidmatan yang lebih luas.
“Kami terus memacu pendigitalan dan kecekapan operasi serta membina momentum untuk pertumbuhan masa depan yang dirangsang oleh 12 Program Strategik (SP) di bawah strategi M25+ dan pelaburan yang disasarkannya,” katanya.
Khairussaleh berkata, Kumpulan juga berhasrat untuk terus menggunakan penyelesaian pembiayaan dan penyahkarbonan yang mampan untuk pelanggan. – UTUSAN









