Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang bermula hari ini dijangka fokus kepada ‘pemulihan parti’ berikutan krisis dalaman yang berlaku kepada parti itu.
Ia ekoran empat ahli Parlimen mereka sebelum ini memberi sokongan kepada Perdana Menteri bagi mendapatkan peruntukan di kawasan masing-masing.
Tindakan tersebut sudah pasti memberi kesan kepada seluruh jentera dan ahli parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Sebab itu Presiden sebagai ketua parti iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengambil peranan tegas dengan meniup ‘roh’ semangat dan kekuatan kepada 2,054 perwakilan dan ahli seluruhnya supaya kekal setia bersama Bersatu.
Dalam masa yang sama, langkah itu penting bagi memperlihat Bersatu kekal relevan dan tidak hanya bergantung kepada kekuatan Pas semata-mata.
Meskipun Pas tidak mengungkit cerita kejayaan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah hasil daripada kekuatan jentera mereka, Bersatu perlu membina kekuatan sendiri yang juga memberikan keuntungan kepada Pas agar dilihat seimbang atas kejayaan yang dibina seperti sebelum ini.
Untuk rekod, pencapaian Pas pada PRU-15 meningkat sebanyak 140 peratus berbanding PRU14, sekali gus mencatatkan bilangan tertinggi dalam sejarah 71 tahun penubuhan Pas.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sejumlah 18 kerusi diperoleh dalam PRU14, manakala 43 kerusi Parlimen dimenangi dalam PRU15 hasil kerjasama gabungan PN.
Dalam pilihan raya di enam buah negeri pula, Pas mencapai tahap kemenangan 83 peratus dengan mendapat kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) tertinggi sebanyak 105 kerusi berbanding parti-parti lain.
Semua kejayaan tersebut adalah hasil ‘gelombang hijau’, wujud atas kesepaduan orang Melayu yang menolak parti UMNO-Barisan Nasional (BN), namun pada ketika ini, parti yang ditolak masyarakat itu menjadi sebahagian daripada Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini bermakna, masyarakat akan kembali menilai sama ada ‘gelombang hijau’ itu masih boleh diteruskan sehingga ke PRU-16, atau rakyat akan mulai membuat pertimbangan atas undi yang diberi kepada PN akibat kerapuhan Bersatu yang mungkin dilihat mudah dibeli dengan wang ringgit sehingga empat daripadanya mampu beralih sokongan kepada Perdana Menteri.
Hanya menggunakan alasan ‘demi kepentingan rakyat’ untuk empat ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan, mungkin juga masyarakat akan mula berfikir adalah lebih baik memberi peluang kepada kerajaan hari ini untuk meneruskan mandat, sekali gus PN tidak lagi menjadi pilihan khususnya orang Melayu.
Maka sebab itu, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ini dilihat kritikal dalam menjenamakan semula parti itu, dengan membawa Bersatu yang baharu bersama ahli yang utuh setia bersama parti.
Malah, usaha pemulihan perlu dilakukan bermula di peringkat bawahan iaitu akar umbi sehingga akhirnya kepada pucuk pimpinan parti baharu kelak menerusi pemilihan parti yang mungkin dibuat pada awal tahun hadapan.
Bersatu akan mula bersidang pada hari ini selama tiga hari sehingga Sabtu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam. – UTUSAN










