KUALA LUMPUR: Industri pembungkusan di Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan positif pada tahun depan didorong permintaan tinggi pengguna di negara ini.
Ia berikutan peningkatan permintaan bermula November terakhir tahun ini sehingga menjelang awal tahun depan.
Pengerusi Persatuan Pengilang Kartun Beralun Malaysia (MACCMA), Henry Low berkata, permintaan sewaktu pandemik Covid-19 lebih baik kerana sesetengah pembungkusan produk makanan seperti susu amat diperlukan pada waktu tersebut.
“Permintaan sewaktu pandemik Covid-19 adalah sangat baik di mana membenarkan kami untuk menjalankan perniagaan. Bagaimanapun , selepas pandemik Covid-19, pasaran industri pembungkusan dilihat semakin berkurangan dengan penurunan pada kadar 30 hingga 35 peratus berikutan kesan impak ringgit terhadap dolar AS bukan sahaja di Malaysia malah terhadap negara lain termasuk China, Indonesia, Vietnam.
“Saya berharap satu hingga dua bulan lagi selepas beberapa perayaan seperti Krismas, pasaran akan menjadi lebih baik dan dijangka awal tahun depan (permintaan) terhadap industri ini akan bertambah baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran WEPACK ASEAN 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Reed Exhibitions (RX) Greater China, Josephine Lee.
Pameran pembungkusan berskala besar pertama di Asia Tenggara anjuran RX bertujuan memacu industri pembungkusan serantau berlangsung selama tiga hari hingga 24 November ini.
Pameran yang julung kali diadakan di Malaysia dijangka menarik lebih 4,000 delegasi dan membabitkan 200 pemain industri global daripada industri pembungkusan di Asia Tenggara dan negara lain.
Pameran tersebut turut disokong oleh MACCMA, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).
WEPACK ASEAN 2023 memberi peluang kepada pemain industri untuk berkongsi, bertukar pengetahuan mengenai trend terkini, pasaran yang lebih efisien dan penjimatan kos serta menggalakkan kerjasama perniagaan antarabangsa.
Henry menambah, RX mempunyai pengalaman yang banyak dalam sektor pembungkusan sejak mereka menubuhkan SinoCorrugated 22 tahun lalu.
“Saya percaya ia akan menjadi satu peluang yang baik untuk mempromosikan pasaran pembungkusan Asia,” katanya.
Dalam pada itu, Josephine berkata, pameran merupakan kali pertama RX membawa jenama WEPACK dari China ke Malaysia.
“Ini akan menjadi platform terbaik bagi pemain industri Asia Tenggara untuk menjalin rangkaian dan membina perkongsian perniagaan. Selain pameran, terdapat beberapa forum dan lawatan kilang bakal diadakan dalam tempoh tiga hari ini. Pameran ini akan dijadikan sebagai acara tahunan,” katanya. – UTUSAN










