Berlakon ‘ubat’ Fadlan Hazim - Utusan Malaysia

Berlakon ‘ubat’ Fadlan Hazim

FADLAN HAZIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tertekan ataupun sentiasa kurang keyakinan diri sendiri, malah dihimpit dengan rasa penyesalan tanpa sebab tertentu, itu antara perkara-perkara yang dirasakan sebilangan penghidap penyakit gangguan kesihatan mental.

Masalah gangguan kesihatan mental itu bukan sahaja serius dalam kalangan remaja, bahkan golongan artis juga terdedah sama.

Pertengahan tahun lepas, pelakon Fadlan Hazim ada membuat pendedahan berani di media sosial. Katanya, dia ada menghidap penyakit tersebut sejak kecil namun mengelak daripada mendapatkan pertolongan profesional kerana beranggapan dirinya baik-baik sahaja.

Cerita pelakon filem Sangkar ini, ketika itu dia pernah mengalami episod hitam, didera secara emosi dan fizikal.

Begitupun, dia terpanggil untuk berkongsi rahsia yang dipendam selama ini kerana mahu menjadikan pengalamannya suatu pengajaran kepada orang lain sementara berusaha mendapatkan rawatan daripada pakar.

Ketika dihubungi, Fadlan memberitahu Utusan Malaysia, dia kini sudah pulih sepenuhnya.

“Alhamdulillah saya sekarang sudah sembuh 100% setelah mendapatkan rawatan doktor pakar dan terapi pada Ogos tahun lalu.

“Lagipun sepanjang 10 tahun saya bergelar pelakon, masalah kesihatan sebelum ini tidak pernah menjadi penghalang untuk saya berkarya apatah lagi menyusahkan pihak produksi.

“Saya boleh sahaja bekerja seperti biasa, akan tetapi perlu berlawanlah, semangat kena kuat. Lakonan ini ibarat ubat untuk lupakan saya menghidapi penyakit dalaman,” katanya.

Tambah Fadlan lagi, masyarakat perlu bersikap terbuka dalam memberikan sokongan dan bantuan.

Selain berusaha untuk sihat, Fadlan atau nama penuhnya Fadlan Hazim Anuwar, menyeru kepada mereka yang turut mengalami masalah kesihatan itu perlu mendapatkan rawatan pakar secepat mungkin.

“Saya sangat bersyukur kerana mempunyai sokongan daripada ahli anggota keluarga, kawan-kawan, doktor dan juga psikiatri. Tetapi apa yang paling penting ialah usaha dan juga corak kehidupan.

 

BANYAK BERSENAM

Sebelum ini saya tidak bersenam dan kurang menjaga pemakanan yang seimbang. Saya terlalu memikirkan soal kerja serta tidak pandai mengatasi tekanan,” katanya.

Sekarang ini, kata Fadlan, dia sudah banyak bersenam dengan berjoging, main gim, jaga pemakanan dan mampu mengawal keadaan yang boleh mengakibatkan tekanan kepada diri dengan lebih teratur.

“Semua itu akan membantu kita untuk mengatasi masalah gangguan kesihatan mental. Sebenarnya ramai sahaja yang menderita dalam diam tapi tidak pernah pergi dan mendapatkan rawatan.

“Dalam pada itu, segelintir masyarakat kita juga perlu diubati daripada ‘penyakit mata’.

“Janganlah pandang orang yang ada sakit mental ini seperti orang tidak waras, lembab, bodoh, lurus bendul! Masyarakat tidak sepatutnya bersikap sedemikian itu. Semua orang ada perkara yang sedang mereka tengah perjuangkan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×