PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pada pagi ini di tengah-tengah dagangan berhati-hati apabila pelabur menilai semula sentimen pasaran global, kata peniaga.
Pada pukul 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.91 mata kepada 1,458.49 daripada 1,463.40 penutup semalam, memetik laporan Bernama.
Indeks dibuka 2.81 mata lebih rendah kepada 1,460.59.
Menurut laporan itu, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mendahului kaunter untung sebanyak 185 berbanding 133, manakala 259 kaunter tidak berubah, 1,797 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 214.64 juta unit bernilai RM121.42 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, Wall Street ditutup rendah semalaman apabila peniaga mula menilai minit Rizab Persekutuan AS yang tidak menyebut sebarang pemotongan kadar.
“Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa dasar itu akan kekal terhad di tengah-tengah kebimbangan inflasi mungkin kembali,” katanya.
Di pasaran tempatan, Thong berkata, pasaran dijangka kekal berhati-hati sepanjang hari sambil menjejaki prestasi pasaran serantau, dengan indeks utama berkemungkinan bergerak antara julat 1,460 dan 1,465.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.09; manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga susut dua sen kepada RM10. Sementara itu, Public Bank susut empat sen kepada RM4.23, CIMB turun tiga sen kepada RM5.76 dan Petronas Chemicals turun tujuh sen kepada RM7.31. – UTUSAN










