Kurang minat pelabur, ringgit kembali dibuka rendah

Kurang minat pelabur, ringgit kembali dibuka rendah berbanding dolar AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas mencatatkan kenaikan selama dua hari berturut-turut, ringgit kembali dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini disebabkan kurang minta terhadap mata wang tempatan itu berikutan sentimen pasaran kekal tidak menentu.

Pada pukul 9.03 pagi, ringgit diniagakan pada 4.6620/6670 berbanding dolar AS berbanding 4.6505/6560 pada penutup semalam, memetik laporan Bernama.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS terus pulih apabila minit terkini Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menunjukkan Rizab Persekutuan AS (Fed) berhati-hati dalam menjalankan dasar monetari, walaupun tetap teguh dalam usaha menangani inflasi.

Beliau berkata, mata wang utama seperti yen Jepun telah mendapat momentum berbanding dolar AS berikutan kemungkinan perubahan dalam pendirian dasar monetari AS.

Katanya, hasil Perbendaharaan AS 10 tahun terus merosot kepada sekitar 4.40 peratus, manakala kemungkinan penurunan kadar dana Fed pada Mei 2024 telah meningkat sedikit kepada 60 peratus daripada 57 peratus sebelumnya.

“Berlatarkan latar belakang sedemikian, ringgit dijangka menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam tempoh terdekat dan boleh dijangkakan peningkatan yang stabil ke arah paras sokongan pada RM4.5778,” katanya.

Pada awal dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kebanyakan sekumpulan mata wang utama.

Ia lebih lemah berbanding euro pada 5.0909/0964 daripada 5.0895/0955 semalam, lebih rendah berbanding pound sterling pada 5.8480/8543 daripada 5.8271/8340 dan hampir tidak berubah berbanding yen Jepun pada 3.1447/1484 daripada 3.1467/1504.

Ringgit juga lebih rendah sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 301.8/302.4 daripada 301.1/301.7, jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4838/4878 daripada 3.4775/4822 dan susut nilai berbanding baht Thailand kepada 13.2511/2725 daripada 13.1989/2201.

Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.40/8.41. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×